Jangan takut kimoterapi lebih dari penyakit sendiri
Bernama
November 1, 2019 06:40 MYT
November 1, 2019 06:40 MYT
Jangan takut rawatan kimoterapi sehingga terlepas peluang untuk merawat kanser lebih awal, kata Ketua Eksekutif Cancer Research Malaysia (CRM), Professor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang.
Beliau berkata ramai pengidap kanser lebih takut kepada rawatan, lebih dari penyakit itu sendiri.
Mengambil contoh kanser payudara, beliau berkata pengidap kanser 'biasa' dalam kalangan kaum wanita itu, ibarat menanti hukuman mati, apabila hampir 60 peratus dari mereka didapati lewat mendapatkan rawatan, menyebabkan peluang diselamatkan juga rendah.
"Setelah mereka tampil mendapat rawatan pula, ramai orang percaya kimoterapi adalah lebih teruk daripada kanser itu sendiri, ramai orang percaya radioterapi adalah lebih beracun, pembedahan akan membunuh mereka dan suami akan meninggalkan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Breast Care Centre di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, pada Jumaat yang disempurnakan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
Pusat itu yang diwujudkan dengan dana dikumpulkan melalui acara pertandingan golf wanita, Sime Darby LPGA Malaysia merupakan yang ketiga diwujudkan di negara ini selepas Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Dr Teo berkata persepsi itu menyebabkan wanita menghidapi kanser ini terus enggan menjalani rawatan yang seterusnya meletakkan negara ini antara terburuk peluang terselamat daripada kanser itu bagi rantau Asia Pasifik.
Dr Teo menjelaskan ini berbeza dengan generasi wanita dahulu yang melahirkan empat atau hingga enam orang anak di usia muda dan kerap menyusukan anak serta menjalani hidup lebih sihat yang telah mengekalkan risiko rendah mereka menghidapi kanser itu.
Katanya, antara lain, dalam langkah menambah baik rawatan kanser payudara, CRM akan memastikan kajian rawatan kanser pada masa hadapan akan turut melibatkan populasi Asia kerana sebelum ini majoriti kajian hanya dilakukan terhadap populasi Kaukasia di negara Barat.
Dr Teo berkata CRM juga menjalankan penyelidikan bagi memahami asas perkembangan jenis-jenis sub kanser payudara dan merawatnya bukan sebagai satu kanser tetapi banyak jenis subkanser yang setiap satunya ada rawatan berbeza supaya lebih berkesan.
--BERNAMA