Jangan takut, banjir kilat tak libatkan Janda Baik - Pengusaha pelancongan
Bernama
Februari 13, 2023 05:30 MYT
Februari 13, 2023 05:30 MYT
KUANTAN: Kejadian banjir lumpur yang berlaku di Bukit Tinggi, Bentong petang Ahad tidak melibatkan kawasan peranginan Janda Baik yang terletak lebih atas dari lokasi kejadian.
Pengusaha pusat pelancongan di Janda Baik, Wan Abd Malik Wan Hamat, 55, berkata kawasan peranginan itu hanya mengalami hujan lebat pada kira-kira 5 petang yang berhenti sejam kemudian dan sungai di situ juga tidak melimpah.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak berasa takut untuk memilih Janda Baik sebagai lokasi percutian terutamanya pada cuti sekolah yang akan bermula pada minggu hadapan.
"Sebagai pengusaha pelancongan, sudah tentu aspek keselamatan pelancong menjadi keutamaan. Jika keadaan tidak selamat, saya sendiri yang akan beritahu kepada mereka kerana itu tanggungjawab saya.
"Malah, jika hujan beberapa hari pun saya akan hubungi mereka yang telah membuat tempahan dan menasihatkan agar menukar tarikh penginapan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wan Abd Malik, yang sudah 15 tahun mengusahakan pusat peranginan di situ, juga berharap rakyat Malaysia dapat membantu pengusaha pelancongan di Janda Baik yang sedang berusaha untuk 'bangkit semula' selepas terkesan dengan banjir teruk pada Mei tahun lepas.
Sementara itu, pekerja sebuah chalet di Janda Baik, Hazrul Izmeil Idzman, 30, turut mengesahkan bahawa hujan lebat pada Ahad hanya menyebabkan air sungai naik sedikit dan kembali ke paras normal selepas hujan berhenti.
Beliau juga hanya mengetahui dakwaan banjir di Janda Baik dan Bukit Tinggi tular di media apabila memeriksa telefon pintarnya pada sebelah malam.
"Saya harap orang ramai tahu yang aktiviti di sini (Janda Baik) berjalan seperti biasa. Semalam (Ahad), ramai juga yang menginap di chalet dan hari ini (Isnin) mereka meneruskan aktiviti berkelah.
"Isu keselamatan penting...orang tempatan juga kerap berbincang berhubung isu ini terutamanya pada musim cuaca tidak menentu supaya sama-sama boleh mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Seorang lagi pengusaha pusat peranginan di Janda Baik yang hanya mahu dikenali sebagai Azizah, 52, berkata beliau sering mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berhubung keselamatan sebelum menerima kunjungan pelancong.
Sebagai contoh, beliau akan mendapatkan pandangan daripada polis jika pengunjung datang dalam kumpulan besar menggunakan bas bagi memastikan kenderaan itu dapat tiba dengan selamat.
"Kita tidak boleh memandai-mandai buat keputusan sendiri kerana ini melibatkan nyawa orang. Jika keadaan tidak selamat, saya sendiri yang akan beritahu kepada pelanggan supaya mereka tidak datang," katanya yang mempunyai lebih lima buah chalet di situ.
-- BERNAMA