Jangan taksub guna media sosial hingga sebar maklumat palsu berkaitan 3R
Bernama
Mac 29, 2024 07:30 MYT
Mac 29, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya berfikiran rasional dan tidak terlalu taksub ketika menggunakan media sosial terutama maklumat berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
Pengerusi Kelab Media Profesional Malaysia Ahmad Nazib Johari berkata ini kerana media sosial sering disalah guna oleh sesetengah pihak yang sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dengan berkongsi maklumat palsu mengenai perkara itu.
"... kita tidak boleh mengawal orang lain, kita kena kawal diri kita sendiri. Contohnya, elok kita hentikan content (kandungan) yang memburukkan keadaan agar kurang mendapat (kecaman).
"Apa-apa melibatkan content jangan emosi, apa yang kita post (hantaran) yang upload (muat naik) mencerminkan diri kita sendiri," katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Jumaat.
Justeru, beliau berkata kerjasama antara pengguna media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia sangat diperlukan bagi membendung isu berkenaan daripada terus berlarutan.
Dalam pada itu, Ahmad Nazib turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak oversharing hantaran di media sosial, lebih-lebih lagi berkaitan maklumat peribadi.
Beliau berkata ini kerana masalah kepada media sosial berpunca daripada pengguna yang terlalu mengikut trend untuk meningkatkan "like" dan "follower" demi populariti.
"Jangan terjebak dalam persaingan yang tidak sihat, jangan berebut-rebut menang di media sosial agar tidak memakan diri, perlu ada kematangan dan rasionalkan emosi," katanya.
-- BERNAMA