Jangan siasat ISMA bawah Akta Hasutan - Ahli Parlimen DAP
Astro Awani
Mei 10, 2014 18:33 MYT
Mei 10, 2014 18:33 MYT
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tidak sepatutnya disiasast di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran kenyataan melampau badan bukan kerajaan (NGO) itu, kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
Lip Eng berkata sebagai parti yang berprinsip, DAP perlu menentang sebarang usaha menggunakan Akta Hasutan terhadap ISMA.
Kata wakil rakyat DAP itu, tiada sesiapa yang patut menjadi mangsa akta warisan penjajahan British itu sama ada tokoh pembangkang mahu pun yang condong kepada pemerintah, termasuk ISMA.
“Saya menyeru supaya Isma janganlah dijadikan mangsa oleh akta yang ditentang oleh DAP untuk sekian lama.
"Biarlah ‘stunt’ politik Isma yang barangkali diarah oleh tuan-tuan politiknya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada hal lebih penting dan memberikan kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama ini diadili menggunakan undang-undang tidak menindas secara politik dan bersifat drakonian," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, peruntukan lain dalam Kanun Keseksaan sedia ada sudah cukup untuk dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan melampau yang boleh mengugat perpaduan kaum.
Lip Eng juga berkata, Isma berjaya menarik perhatian umum dan mengambil alih tugas Perkasa untuk melabelkan rakyat dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya, malah mendustai sejarah demi kepentingan politik mereka.
"Tindakan ini juga berjaya membuatkan kita lupa tentang perkara lebih penting seperti isu kelemahan kerajaan BN menangani tragedi kehilangan pesawat MH370, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kejadian pencerobohan perairan Sabah di bawah kawalan Esscom yang turut melibatkan penculikan," katanya.
Pada 7 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis sedang menyiasat presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman di bawah Akta Hasutan 1948.
Ia ekoran kenyataan melampau Abdullah yang melabelkan masyarakat Cina sebagai pendatang dan mendakwa kedatangan mereka ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dulu adalah pencerobohan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi reaksi ekoran kenyataan Abdullah dan menyifatkan ia tidak memberikan kebaikan kepada negara.