Jangan sentuh ubur-ubur di Pantai Batu Hitam

Bernama
Mei 13, 2022 18:26 MYT
Orang awam diingatkan supaya mengelak daripada mandi atau melakukan aktiviti pantai jika melihat kehadiran ubur-ubur sehingga spesiesnya dapat dipastikan tidak berbahaya. - Gambar fail
KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh ubur-ubur yang terdampar di Pantai Batu Hitam di sini hari ini kerana dibimbangi ia daripada spesies berbahaya.
Pengarah Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata setakat ini, pihaknya telah ke lokasi itu bagi mengenal pasti dan mengambil sampel untuk mengesahkan spesies haiwan tersebut selepas menerima maklumat ada individu disengat.
"Buat masa ini, kita menasihatkan orang awam untuk sebaiknya mengelak daripada mandi atau melakukan aktiviti pantai jika melihat kehadiran ubur-ubur sehingga spesiesnya dapat dipastikan tidak berbahaya.
"Sebelum ini, kita ada sejarah ubur-ubur berbahaya seperti Portuguese man o' war terdampar di perairan Pantai Timur dan dibimbangi jika ubur-ubur yang ditemui hari ini juga daripada spesies berbahaya," katanya semasa dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan Kapten (PA) Zaubidah Said berkata tiga anggota lelaki pasukan itu yang berusia antara 32 dan 34 tahun disengat ubur-ubur semasa melakukan aktiviti latihan harian di pantai berkenaan pada 10.30 pagi tadi.
"Ketika kejadian, mereka sedang menjalani latihan sebagai penyelamat pantai dan kemudian diberikan rawatan awal serta berada dalam keadaan baik," katanya.
Zaubidah berkata setakat ini, 10 ubur-ubur ditangkap oleh anggota APM semasa rondaan di pantai itu.
-- BERNAMA
#pantai batu hitam #ubur-ubur #spesies berbahaya #APM
;