Jangan sebar gambar suspek bawah umur - Polis

Hakim Rahman
September 29, 2013 08:00 MYT
Orang ramai diingatkan agar tidak terus menyebarkan gambar dan maklumat sulit mengenai lapan suspek juvana yang disiasat atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan menyebarkan foto suspek juvana dan maklumat sulit adalah salah disisi undang-undang.
Jelasnya, perbuatan itu bukan saja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan siasatan polis.
"Perbuatan menyebarkan gambar kanak kanak adalah tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana tidak boleh disiarkan apa-apa sahaja gambar (suspek juvana) sama ada semasa pembicaraan atau dalam peringkat menjadi suspek dalam sesuatu kesalahan ataupun menjadi mangsa dalam satu-satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kelapan-lapan suspek juvana itu dikatakan merogol pelajar terbabit di Kuala Kubu Baru, Selangor pada 23 September lalu.
Laporan sebuah akhbar mengenai kes itu disebarkan di laman media sosial bersama foto yang memaparkan beerapa suspek bawah umur.
Penyebaran foto terbabit yang menggunakan susunatur akhbar terbabit dipercayai didalangi oleh individu tidak bertanggungjawab.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar berusia 12 tahun dikatakan telah ponteng dari sekolah pada 19 September. Dia kemudiannya tidak pulang ke rumah sebaliknya tidur di surau sebuah taman perumahan di bandar itu.
Pada keesokan harinya, beberapa rakan lelaki pelajar itu dikatakan telah membawa mangsa ke sebuah rumah kosong sebelum dipercayai dirogol.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Bedin berkata susulan laporan keluarga mangsa, polis telah menahan kelapan-lapan suspek untuk direman bagi siasatan lanjut.
"Enam suspek berusia 14 tahun manakala dua lagi berusia 12 tahun. Pelajar perempuan terbabit telah dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut. Kes kini disiasat di bawah kesalahan merogol berikutan mangsa masih di bawah umur."
#bawah umur #juvana #polis #rogol
;