'Jangan sebar berita palsu mengenai ekonomi Malaysia' - #WeMalaysia Australia

Wan Syamsul Amly
April 7, 2016 00:24 MYT
#WeMalaysia Australia: 'Jangan sebar berita palsu mengenai ekonomi Malaysia' - Gambar #WeMalaysia Australia
Mana-mana pihak diminta tidak menyebar atau mencipta spekulasi mengenai tahap ekonomi Malaysia walaupun dilanda krisis baru-baru ini.
Koordinator #WeMalaysia Australia Cawangan Queensland, Muhammad Noor Ikhwam Nordin berkata, ia hanya menyebabkan kesan negatif kepada rakyat negara terutama pelajar Malaysia di luar negara.
"Kita harus bersikap profesional dalam hal yang berkaitan masa depan negara dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam sesuatu perkara tanpa bukti yang kukuh.
"Apa yang berlaku pada ekonomi negara pada awal tahun disebabkan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan dan penurunan harga minyak mentah dan memberikan impak kepada banyak negara bukan sahaja kepada Malaysia," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.
Kata Muhammad Noor Ikhwam, nasihat itu turut diberi kepada pelajar semasa Program 'Meet & Greet' anjuran Majlis Pelajar-pelajar Malaysia di Queensland, Australia dengan kerjasama Organisasi Pelajar Malaysia di Queensland dan #WeMalaysia Australia baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri Pengarah Pelajaran Malaysia di Australia, Suzzaini Abdullah.
Perjumpaan itu menggabungkan persatuan-persatuan pelajar dari Universiti Queensland, Universiti Teknologi Queensland, Universiti Griffith, Universiti Bond dan universiti berhampiran.
Katanya, program itu turut bertujuan memperkenalkan pelajar baru kepada komuniti Malaysia di Queensland di samping mewujudukan hubungan baik sesama pelajar.
Jelas Muhammad Noor Ikhwam, tindakan Kerajaan Persekutuan pada awal tahun ini yang membuat semakan ke atas belanjawan negara dijangka membantu Malaysia dalam menghadapi situasi ekonomi dunia.
"Ringgit terus mengukuh berbanding matawang besar dunia pada April dan hal ini dilihat sesuatu yang baik buat Malaysia kerana terus menjadi pilihan pelabur asing," jelasnya.
Sebelum ini, Koordinator #WeMalaysia - Wilayah Timur AS, Anis Abd Razak berkata, pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) lega pengukuhan Ringgit berbanding dolar AS sejak awal April memberi harapan besar tanda pemulihan ekonomi negara.
Jelasnya, ia bukti ekonomi negara kekal kukuh walaupun masih ada kebimbangan terhadap kegawatan ekonomi China dan kejatuhan harga minyak mentah dunia.
#WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, #WeMalaysia mempunyai cawangan di AS, Australia dan United Kingdom (UK).
##WeMalaysia Australia #Universiti Bond #Universiti Griffith #Universiti Queensland #Universiti Teknologi Queensland