Jangan sampai peserta MM2H pindah ke negara jiran - Nazri
Irwan Muhammad Zain
September 28, 2021 21:04 MYT
September 28, 2021 21:04 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi amaran kepada kerajaan tentang kerugian yang dialami sekiranya syarat ketat dikenakan terhadap peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tidak segera diubah.
Nazri menegaskan syarat-syarat ketat yang mahu dilaksanakan mampu membuatkan mereka yang berhasrat menyertai atau telah menyertai program MM2H memilih negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sebagai destinasi.
Beliau juga menegaskan meletakkan MM2H di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga merupakan satu langkah silap kerana syarat baru yang mahu dikenakan mampu membuatkan peserta MM2H yang telah lama berada di negara ini akan menjual semua aset mereka.
“Kita kena ingat, jika syarat terlalu ketat, peserta MM2H ini akan menjual segala aset mereka dan pindah ke negara lain.
“Kena ingat, ada Indonesia dan Thailand di sebelah utara. Adakah kita mahu mereka pindah dari negara ini dan kita akan kerugian?
“Saya harap program MM2H ini diletakkan kembali di bawah Kementerian Pelancongan bukan KDN,” katanya ketika berucap membahas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pada 17 Sept lalu, Sultan Johor bertitah baginda dukacita dengan keengganan KDN menyemak semula syarat ketat baru Program MM2H.
Menurut Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebelum ini baginda telah bertitah kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya menyemak semula syarat baru tersebut.
Pada 25 Sept lalu, Sultan Ibrahim membangkitkan perkara yang sama ketika menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pelangi.
Johor adalah antara destinasi popular MM2H, dan menyumbang kepada pendapatan negeri.