Jangan sampai menyekat kebebasan untuk bertanya - Anwar

Astro Awani
Julai 26, 2018 19:45 MYT
Anwar menegaskan bahawa hak untuk bertanya serta bersuara perlu dibezakan dengan tindakan tidak bertanggungjawab seperti meniup api kebencian - Foto fail
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya Akta Kebencian Agama dan Kaum yang bakal diperkenalkan kelak tidak menjadi alat sehingga menyekat kebebasan bersuara.
Anwar menyarankan agar undang-undang baharu itu dirangka dengan penuh teliti dan dibahas secara komprehensif.
“Pada dasarnya saya bersetuju (akta tersebut) supaya masyarakat lebih dewasa dan menghormati perbedaan yang wujud.
“Bagaimana pun, saya gusar kerana undang-undang itu boleh digunakan kelompok tertentu untuk menyekat sama sekali,” kata Anwar ketika temubual program AI yang disiarkan pada 8.15 malam Khamis di Astro AWANI.
Tambahnya, hak untuk bertanya serta bersuara perlu dibezakan dengan tindakan tidak bertanggungjawab seperti meniup api kebencian sehingga mencemar keharmonian dan kerukunan bermasyarakat.
“Jaminan melalui peruntukkan undang-undang perlu dipertahankan hak rakyat untuk bersuara.
"Sekarang ada juga segelintir ‘orang agama’ yang cepat menghalang, soalan pun mesti mengikut garis atau jalur kefahaman mereka,” ujarnya.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa memaklumkan kerajaan bercadang mewujudkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam atau agama lain.
TONTON: Perubahan radikal orang Melayu!
#AI #Akta Kebencian Agama dan Kaum #Anwar Ibrahim #isu semasa #Pakatan Harapan #Parlimen Malaysia #PKR #terkini #Terkini Astro AWANI
;