'Jangan samakan Klang dengan Colombia' - Ketua Polis Negara
Madiha Abdullah
Februari 4, 2024 13:40 MYT
Februari 4, 2024 13:40 MYT
KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam usaha memadamkan persepsi negatif orang ramai berkaitan bandar Klang yang sering disebut sebagai 'bandar Colombia' oleh sesetengah pihak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha itu jelas dengan pelbagai operasi yang dijalankan sejak Januari hingga awal Februari lalu, membabitkan kes dadah, penyeludupan migran dan aktiviti jenayah lain.
"Ada beberapa portal yang tulis, seolah-olah Klang 'bandar Colombia', kita tak benarkan (kenyataan itu).
"Kerana itu kita datang ke sini sejak 15 Januari hingga 1 Februari lalu, kita buat pencegahan, tangkapan, operasi dadah dan jenayah kita buat di sini.
"Kita hendak bersihkan Klang. Ini bukan bandar Colombia, ini Klang, Bandar Diraja, letakkan itu di minda kita semua," katanya dalam sidang media selepas program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pandamaran, pada Ahad.
Tambah Razaruddin, jika diukur dari segi kadar jenayah, Gombak mencatat angka lebih tinggi, diikuti Petaling Jaya dan Klang Selatan pada tahun ini.
Terdahulu pada Januari, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meluahkan rasa kesal apabila Klang disamakan dengan Colombia, yang dikenali dengan kadar jenayah tinggi.