'Jangan samakan isu vape dengan rokok' - Move

Rahimah Abdullah
Jun 30, 2022 04:40 MYT
Samsul Kamal Ariffin menjelaskan, kajian dilakukan Public Health of England (PHE) mendapati vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move) bertegas, isu melibatkan rokok elektronik atau vape tidak boleh sama sekali disamakan dengan rokok yang disifatkan lebih berbahaya untuk kesihatan.
Presidennya, Samsul Kamal Ariffin menjelaskan, ia berikutan kajian dilakukan Public Health of England (PHE) mendapati vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok.
"Saya nampak kita jangan samakan isu vape dengan rokok. Saya sama sekali tidak bersetuju sebab kita kena lihat pada fakta sains. Dari mula apabila vape masuk ke dalam pasaran Malaysia, ada banyak informasi yang tidak tepat.
"Kalau nak bercakap kena bercakap atas fakta sains yang diterima oleh peer research yang dilakukan oleh banyak badan dalam dunia. Antaranya Public Health of England (PHE). Ini badan yang mengiktiraf doktor-doktor dalam dunia ini yang menjalankan kajian ke atas vape, didapati bahawa vape 95 peratus lebih selamat daripada merokok.
"Apabila kami sampaikan perkara ini kepada agensi kerajaan dan KKM, mereka kata tunggu apabila PHE lakukan kajian kedua. Apabila sudah jalankan kajian kedua, didapati bahawa vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok," katanya semasa menjadi salah seorang tetamu Dialog Tiga Penjuru bertajuk "Generasi Penamat Rokok" di saluran Astro AWANI pada Khamis.
Ujarnya, kajian dilakukan PHE adalah melalui ujian pengesanan toksid di hidung, lidah dan paru-paru yang mendapati vape adalah lebih selamat berbanding rokok dan tembakau.
"Rokok yang membuatkan kita jadi sakit ini bukan nikotin sebenarnya. Tar sebenarnya yang membuatkan kita jadi sakit dan berapa banyak kimia berbahaya lagi dalam rokok yang membahayakan kesihatan kita," ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, vape dilihat sebagai satu-satunya cara terbaik untuk berhenti merokok berbanding langkah-langkah lain.
Malah, beliau melihat nikotin dalam vape adalah sama seperti kafein dalam kopi.
"Saya nak jelaskan, ada kalangan kita merokok semasa muda dulu. Itu adalah keputusan salah kita buat suatu ketika muda. Sudah pelbagai cara kita lakukan untuk berhenti merokok dan satu-satunya boleh buat kami berhenti merokok ialah vape.
"Kita jangan lihat nikotin ini sebagai perkara yang taboo. Mengapa kita kata nikotin ini harus dielakkan, sedangkan dalam makanan ada nikotin," tambahnya.
Justeru beliau mahu isu vape dilihat dengan minda yang terbuka dan berdasarkan fakta.
Dalam pada itu, Samsul Kamal berpendapat cadangan pelaksanaan Generasi Penamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya dilihat 'indah' di atas kertas, namun mungkin sebaliknya bagi pelaksanaan langkah berkenaan.
"Keputusan ini nampak indah di kertas, namun pelaksanaannya sangat mencabar. Pemerhatian kami di banyak negara, contohnya India, apabila mereka mengambil pendekatan menyekat undang-undang itu, banyak masalah akan timbul.
"Kalau ikut projection KKM, tahun 2040 akan tinggal 5 peratus sahaja perokok. Bermaksud tidak ada seorang perokok pun. Pengharaman total. Mungkin satu keputusan dibuat di mana vape dan rokok akan diharamkan terus.
"Di sini juga akan mendatangkan masalah kerana tiada pendidikan, kesedaran menyebabkan satu masalah. Selagi ada masih ada permintaan, selagi itulah ada (vape). Dadah juga haram, tetapi masih lagi tidak selesai masalah," ujarnya.
Justeru, isu berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sekadar elok di peringkat perancangan.
Dalam pada itu, kajian dilakukan Pakar Perubatan Respiratori,Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 2021 mendapati, vape bukan suatu aktiviti yang sepenuhnya selamat.
Dr Wong Chee Kuan berkata, hasil kajian dan temu ramah mendapati, lapan daripada kira-kira 900 pesakit yang dimasukkan ke wad kerana Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) mempunyai gejala vaping product use-associated lung injury (Evali).
"Saya ada buat satu kajian pada tahun lepas, lebih kurang 900 pesakit masuk ke dalam wad kita kerana penyakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), sebab tanda-tanda penyakit kerosakan paru-paru atau e-cigarette or vaping product use associated lung injury. Ini kita panggil Evali. Ia sama macam jangkitan kuman paru-paru.
"Pada mulanya kita susah nak bezakan dua-dua. Namun, dalam 900 pesakit ini, kita dapati bukannya ramai yang mengaku bahawa mereka hisap vape. Ada yang mengaku merokok juga.
"Pesakit yang vaping itu kita sudah termu ramah ,buat kajian dan siasatan dan kita dapati lebih kurang 8 daripada mereka ada gejala dan ada penyakit evali. jadi bukannya satu benda yang lumrah, namun ia boleh berlaku," katanya dalam program sama.
Malah, pesakit berkenaan juga lebih senang mendapat jangkitan kuman COVID, Tibi, atau jangkitan kuman paru-paru yang lain.
"Jadi kita juga dapati daripada kajian itu. Ada juga pesakit yang ada penyakit asthma dan pada masa sama mereka hisap vape dan bertambah terukkan keadaan, sehingga masuk wad dan ada masuk ICU.
"Jadi, vape bukan 100 peratus selamat. Kita ada kajian dan sudah bentang kajian kepada KKM bahawa ini adalah satu laporan yang penting untuk menunjukkan bahawa vaping itu bukan suatu yang selamat," tambahnya.
#Dialog Tiga Penjuru #Generasi Penamat #rokok #vape
;