Jangan salahkan peminjam Melayu dalam isu bayaran balik PTPTN - Najib

Sinar Harian
September 10, 2018 17:00 MYT
NAJIB: Saya setuju secara amnya perutusan Tun Dr Mahathir baru-baru ini bahawa orang Melayu patut bekerja sekuat orang lain dan tahu tanggungjawab masing-masing. -BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa punca kegagalan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuat pembayaran semula adalah disebabkan hasutan PH sebelum menjadi kerajaan.
Beliau berkata, sejak 10 tahun dahulu, PH telah menggalakkan peminjam untuk tidak membayar balik malah melaung janji manis bahawa semua hutang PTPTN akan dimansuhkan sekiranya menang dalam PRU14.
“Saya setuju secara amnya perutusan Tun Dr Mahathir baru-baru ini bahawa orang Melayu patut bekerja sekuat orang lain dan tahu tanggungjawab masing-masing.
“Tapi saya tidak bersetuju beliau menggunakan isu pembayaran balik PTPTN sebagai contoh mengatakan semua kaum Melayu sebagai malas, tidak bertanggungjawab dan tidak lagi dipercayai oleh bank-bank,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya, hari ini.
Sebelum ini, Mahathir dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua Parti Pribumi Bersatu telah menegur sikap orang Melayu yang tidak bertanggungjawab selain mudah mungkir janji.
Kata Najib, dalam isu PTPTN, bukan sahaja kaum Melayu tidak membayar tetapi ramai juga peminjam dari kalangan kaum-kaum lain yang turut termakan hasutan tersebut.
“PH yang merosakkan PTPTN dan mereka tidak patut menggunakan isu ini sebagai alasan untuk menyalahkan satu kaum sahaja,” katanya.
Justeru, beliau berkata, PH perlu bertanggungjawab terhadap tindakan peminjam PTPTN yang enggan membuat pembayaran semula pinjaman tersebut.
“Oleh kerana PH tidak akan memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan sebelum ini, saya menyeru kepada semua peminjam tak kira bangsa termasuk orang Melayu untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar boleh mendapat bantuan PTPTN pada masa depan,” katanya.
#Najib Razak #Pakistan Harapan #Parti Pribumi Bersatu #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #PH #PPBM #PTPTN
;