Jangan salahkan graduan sahaja, industri pekerjaan juga gagal berkembang dengan baik - MBM
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 12, 2023 12:42 MYT
Februari 12, 2023 12:42 MYT
KUALA LUMPUR: Masalah pengangguran dalam kalangan graduan lepasan universiti di negara ini perlu dilihat secara realistik dan lebih adil berbanding hanya menyalahkan satu pihak sahaja.
Menurut Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin, masalah tersebut bukanlah baharu dan telah melepasi tahap kritikal.
Bagaimanapun jelasnya, masyarakat tidak boleh semata-mata hanya menyalahkan graduan-graduan yang lebih memilih kerjaya yang diimpikan, malah perlu melihat kepada keseluruhan usaha mereka yang telah bersusah payah mengikuti sistem pembelajaran sejak awal persekolahan.
“Memilih pekerjaan yang baik itu merupakan satu ganjaran atau ‘rewards’ kepada mereka supaya apa yang telah mereka laburkan... segala usaha dan titik peluh mereka ini, diganjari dengan pekerjaan yang bersesuaian.
“Jadi ia berbaloi dengan usaha mereka yang menjadi graduan kejuruteraan, sains, teknologi bioteklogi, sains sosial dan segalanya. Kita pun faham kos pendidikan juga bukanya murah," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Justeru jelasnya, sudah pastinya kesemua faktor komitmen yang dilaburkan itu tidak seharusnya sia-sia dan mereka wajar mendapat tempat yang sepatutnya dalam industri.
Para lepasan graduan juga secara umumnya menyasarkan agar alam pekerjaan yang bakal ditempuhi nanti mampu memberi jaminan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
“Kita perlu tengok keadaan ‘menang-menang’ antara graduan dan juga bagaimana ekosistem pasaran pekerjaan kita di Malaysia ini -- adakah memberikan sokongan yang baik sepertimana yang sering kita perkatakan seperti gaji bermaruah, pekerjaan berkualiti dan segalanya,” katanya lagi.
MBM katanya, sering mengutarakan permasalahan ini kepada kerajaan sejak mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin lagi, iaitu apabila 16 peratus golongan belia lebih memilih untuk memastikan pekerjaan yang dimahukan adalah setimpal dengan tahap kelulusan mereka.
Tahap penyediaan dalam kalangan pemain industri ketika ini juga katanya haruslah seiring dengan perkembangan semasa dalam memastikan ruang pekerjaan yang mampu ditawarkan sesuai dengan tahap dan kualiti yang sepatutnya.
Jelas Syafiq lagi, universiti-universiti ketika ini telah menawarkan kepelbagaian pengkhususan jurusan bagi menepati standard dan kualiti pendidikan semasa dan global.
Namun malangnya, perkembangan industri di negara ini tidak mampu menawarkan peluang kerja berdasarkan bidang yang diambil oleh pelajar-pelajar.
“Contohnya bagaimana universiti kita telah sekian lama menawarkan subjek kejuruteraan aeronautik mekanikal di Malaysia, tetapi kita tengok pasaran pekerjaan bidang itu masih lagi tidak berkembang dengan baik sejak 10 atau 20 tahun yang lepas,” katanya.
MBM memandang serius perkara tersebut dan sentiasa mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia serta Jabatan Tenaga Kerja dan beberapa agensi lain, dengan menjalankan beberapa siri program up-skilling dan re-skilling bersama golongan belia di negara ini.
Ia katanya bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran dalam kalangan golongan terbabit untuk sekurang-kurangnya mampu mendapatkan tempat yang lebih baik dalam alam pekerjaan.