Jangan salah tafsir mesej Majlis Raja-Raja - Hishammuddin

Hilal Azmi
Oktober 8, 2015 10:32 MYT
HISHAMMUDDIN: Mungkin untuk rekod mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu, mereka hanya menyarankan sesuatu yang memang perlu ditekankan kita di peringkat kabinet dan kepimpinan PM sendiri. - Gambar Fail
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya Majlis Raja-Raja akan berterus terang sekiranya institusi itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Justeru, beliau menggesa semua pihak tidak menyalah tafsir kenyataan Majlis Raja-Raja.
"Kalau tak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, saya percaya pihak Majlis Raja-raja akan cakap bulat-bulat. Tak perlu bangkitkan isu 1MDB," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.
Tambah beliau, kenyataan Majlis Raja-Raja itu bersifat penekanan kepada peranan penting yang perlu dimainkan pemimpin.
"Mungkin untuk rekod mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu, mereka hanya menyarankan sesuatu yang memang perlu ditekankan kita di peringkat kabinet dan kepimpinan PM sendiri.
"Ini bukan satu perkara baru," katanya.
Turut sama dalam sidang media berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang turut bersetuju dengan pandangan Hishammuddin mengenai perkara tersebut.
BACA: Titah Majlis Raja-Raja dinilai baik oleh pentadbiran kerajaan - Zahid
BACA: 'Raja-raja Melayu prihatin isu 1MDB' - Muhyiddin
BACA: Jika seruan Majlis Raja-Raja diingkari, rakyat juga yang terima padah - Chandra
Pada Selasa, Majlis Raja-Raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa perkara.
Antara lain, Majlis Raja-Raja menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Hishammuddin Hussein #Majlis Raja-Raja #Najib Razak