Jangan salah guna maksud sedekah - MB Perak

Abd Razak Mohd Ali
Januari 24, 2023 14:16 MYT
Semua pihak tidak harus menyalahgunakan maksud yang baik di sebalik perkataan atau perbuatan sedekah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Gambar fail BERNAMA
IPOH: Semua pihak tidak harus menyalahgunakan maksud yang baik di sebalik perkataan atau perbuatan sedekah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, sedekah merupakan perbuatan kebajikan kepada orang susah dan miskin tanpa mengira musim seperti pilihan raya.
“Sedekah ini satu perbuatan baik, satu perbuatan kebajikan. Bila dengar orang susah, tak kira musim pilihan raya ke atau tidak, tak kira parti apa (mereka bantu), itu kira sedekah.
“Kalau tiba-tiba musim pilihan raya pula nak berbudi, itu bukan (sedekah)… itu nenyalahgunakan perkataan sedekah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran projek Piccadilly @ Greentown, di sini, hari ini.
Beliau berpendapat, sekarang adalah antara masa yang baik untuk memberi bantuan atau sedekah kepada mahasiswa universiti yang susah.
“Jangan tunggu masa musim pilihan raya baru nak beri tambang pergi balik. Janganlah anggap rakyat Malaysia ni tak reti sangat maksud sedekah,” tegas Saarani lagi.
Dalam masa sama, kata Saarani, beliau sendiri tidak mendapat maklumat mengenai pemberian tambang kepada mahasiswa Perak yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau berkata, mengikut Akta Pilihan Raya, adalah jelas menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang menyogok pengundi dengam tujuan untuk mempengaruhi pengundi bagi menyokong mereka.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan petisyen difailkan UMNO Terengganu bagi membatalkan keputusan PRU15 di tiga kawasan Parlimen di negeri Pantai Timur itu.
Hadi berkata, mereka yang dirakam dalam video menyerahkan wang tunai kepada pengundi hanyalah melakukan kerja amal.
Ahli Parlimen Marang itu, berkata undang-undang pilihan raya menetapkan hanya calon dan ejen mereka dilarang memberi wang tunai.
#sedekah bukan rasuah #Abdul Hadi Awang #sedekah pilihan raya #Saarani Mohamad
;