Jangan sakit hati Anwar berbaik dengan Tun M
Mei 16, 2018 07:06 MYT
Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati hubungan baiknya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata beliau memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Mahathir dan seluruh Kabinet.
"Budaya kita budaya terbuka, kita terima Mahathir dan seluruh Kabinet, yang kamu sakit hati kami baik sebab apa?
"Mereka tanya kenapa Anwar ni dah kena teruk tapi tetap baik semula. Kamu tak faham ukhwah dan silatulrahim? Orang baik dengan kita, kita baik la," katanya dalam ucapan Himpunan Merdeka Rakyat, di sini.
Menurut Anwar jika seseorang itu merompak duit rakyat, tidak mungkin dapat berbaik.
"Kamu merompak duit rakyat takkan nak baik, baguslah Mahathir dan Anwar dulu bukan main bergaduh punya lama, sekarang baik balik.
"Saya tak akan sokong Tun M kalau dia tak bawa perubahan baik kepada negara. Pasukan ini komited bawa perubahan ke arah yang baik," katanya.
Anwar berkata, kerajaan baharu ini tidak mulakan ucapan dengan ucapan pacu pelaburan tetapi menghapuskan GST, inilah kepedulian rakyat.
Beliau juga berkata, Mahathir ada bertanya kepadanya memandangkan tidak jadi ahli Parlimen dan tidak ada jawatan dalam Kabinet.
"Tun Mahathir tanya saya tak jadi ahli Parlimen, tak ada kerja. Nak masuk Kabinet tak?
"Saya kata kamu (Mahathir) teruskan saja dengan pasukan yang ada, saya sokong dari belakang," ujar Anwar.