Jangan risau, tidak perlu ganti buku teks rosak akibat banjir - Radzi
Eton Khir
Januari 7, 2022 11:35 MYT
Januari 7, 2022 11:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pelajar yang mengalami kerosakan buku teks akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atau menggantikannya dengan buku teks baharu bagi menjalani sesi persekolahan bermula minggu depan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya (KPM) akan menggantikan buku teks yang rosak bagi membolehkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan dengan teratur dan lancar.
"Kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau, mereka tidak perlu bayar ganti rugi atau ganti buku tersebut," katanya.
Berdasarkan rekod KPM, kata Radzi, sehingga hari ini, sebanyak 263,662 naskhah buku teks rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang pelajar seluruh negara.
"KPM mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi membolehkan murid mengikuti sesi PdP pada minggu hadapan,” tambahnya, menerusi perkongsian video di Facebook rasmi beliau hari ini.
Radzi berkata demikian mengulas banyak pertanyaan yang diterima KPM berhubung buku teks sekolah yang rosak akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Katanya, guru-guru akan mencatatkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir sebelum memberikan buku teks baharu.
"Semoga anak-anak yang terjejas banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan dapat kembali ke sekolah apabila dibuka kelak," katanya.