Jangan risau, bonus Aidilfitri berkemungkinan ada - MB Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 5, 2018 17:46 MYT
Jelas Mukhriz, pihaknya sedar jumlah tersebut mungkin kurang berbanding pemberian pada tahun-tahun sebelumnya. - Gambar fail
Penjawat awam di negeri Kedah berkemungkinan akan menerima bonus sempena Aidilfitri meskipun ketika ini kerajaan negeri sedang mengalami kekurangan dana.
Itu jaminan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pemberian bantuan khas sempena perayaan Aidilfitri mengikut kadar ditetapkan Kerajaan Persekutuan iaitu RM400 kepada penjawat awam dengan gred 41 ke bawah.
Jelas Mukhriz, pihaknya sedar jumlah tersebut mungkin kurang berbanding pemberian pada tahun-tahun sebelumnya.
“Dalam keadaan kerajaan negeri kekurangan dana maka kita perlulah berbelanja secara berhemah tetapi pada waktu yang sama kita kena pastikan bahawa kakitangan yang paling rendah tu tetap menerima bantuan walaupun sedikit pun adalah juga.
“Setakat ini itu keputusannya, iaitu kita mengikut arahan seperti mana yang dibuat di peringkat Persekutuan iaitu 400 ringgit bagi semua kakitangan kepada gred 41 dan ke bawah,” katanya selepas menyempurnakan program membeli-belah bersama 96 pelajar kurang berkemampuan dari seluruh negeri Kedah di pasar raya besar Mydin, dekat Taman Saga, Alor Setar siang tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ismail Salleh, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Saduruddin Gulam Husen serta Pegurus Besar Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.
#Alor Setar #Azmin Ali #bonus #Kedah #Mahathir Mohamad #Menteri Besar #Mukhriz Mahathir #penjawat awam
;