Jangan rakyat balas jasa MRT dengan 'tuba'
Afza Fahmidah
Ogos 3, 2017 07:26 MYT
Ogos 3, 2017 07:26 MYT
Hampir sebulan Mass Rapid Transit (MRT) yang juga dikenali sebagai Aliran Transit Massa laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) beroperasi sekali gus menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia.
Ia anjakan paradigma sekali gus kebanggaan rakyat negara ini yang mahu melihat kemudahan awam secanggih MRT merangsang kejayaan fokus pengangkutan awam darat kelas pertama.
Sudah pasti ia mendekatkan kita dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya dilaksanakan.
Pada hari pelancaran fasa kedua laluan MRT SBK 17 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perkhidmatan MRT di Malaysia lebih baik daripada perkhidmatan MRT di kota London, New York dan Hong Kong, malah sama taraf dengan MRT di Singapura.
Kenyataan itu lampu hijau untuk rakyat Malaysia mendabik dada atas pencapaian berkenaan.
Sebagai seorang pengguna pengangkutan awam tegar, dan biasa menggunakan perkhidmatan MRT di Singapura, saya akui apa yang diperkatakan Datuk Seri Najib ialah realiti.
Reka bentuk, infrastruktur, kemudahan, kecekapan dan keselesaan di MRT negara ini boleh dikatakan setanding dengan apa yang ada di Singapura.
Bagaimanapun, rakyat negara ini harus sedar kecanggihan sistem MRT itu sebenarnya sesuatu yang harus dihargai dan bukan menjadi lesen untuk sesetengah individu merosakkan fasiliti yang dibina untuk semua.
MRT di Singapura
Saya membandingkan senario MRT di Singapura dengan Malaysia.
Di Singapura, kekerapan gangguan perkhidmatan MRT adalah tinggi dengan lebih daripada 40 gangguan perkhidmatan dilaporkan sepanjang tahun 2015 sahaja.
Pada 7 Julai 2015, dua rangkaian MRT utama, iaitu laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat terhenti secara serentak selama beberapa jam pada waktu puncak ekoran kerosakan pada sistem kuasa.
Kejadian yang melibatkan 53 buah stesen MRT itu sekali gus menjadi sejarah paling teruk berlaku dalam dunia pengangkutan awam di Singapura.
Pada ketika itu, penumpang yang terperangkap di dalam tren bawah tanah memecahkan cermin pintu MRT untuk mendapat pengudaraan yang lebih baik.
Malah ada juga di antara mereka yang pengsan.
Gangguan perkhidmatan sebenarnya banyak terjadi pada sistem MRT yang sudah 'matang' seperti di Singapura, New York dan London.
Di Singapura, laluan MRT mereka yang pertama sudah berusia lebih 30 tahun.
Insiden buruk itu pastinya tidak mahu diulang di negara ini walaupun berpuluh-puluh tahun lagi.
Oleh itu, pihak yang berwajib perlu sentiasa peka dan pastinya mereka sudah mengambil pelbagai pelan kecemasan serta perancangan untuk memastikan hal seumpama itu tidak berlaku di Malaysia.
Ramuannya mudah, kita tidak harus leka dan perlu bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang bakal menimpa.
Budaya Penggunaan MRT
Dalam pada itu, pengguna juga perlu 'celik' dengan budaya penggunaan MRT itu sendiri.
Kita tidak mahu dilabel sebagai pengguna kelas ketiga pada saat sistem MRT sudah diiktiraf jauh lebih baik malah setanding MRT di negara-negara maju lain.
Bagaimanapun, beberapa laporan salah laku yang berpunca daripada 'tangan-tangan nakal' di MRT melibatkan perlakuan mencalarkan bangku di platform tren, menanggalkan mangkuk tandas, meretakkan dinding kaca dan membuang sampah sarap di sekitar kawasan stesen tidak harus diambil mudah.
Ini termasuk kejadian wanita yang dilihat menggantung buaian dalam tren seperti dilapor media pada 25 Julai lalu.
Malah lebih menyedihkan, ada juga kanak-kanak yang dilihat memanjat dinding ukiran rukun negara di Stesen MRT Merdeka sekali gus menimbulkan persoalan kelalaian ibu bapa menjaga anak di MRT.
Rakyat harus sedar, tanggungjawab menjaga harta benda awam perlu ditekankan dan bukan diletakkan di atas bahu pihak tertentu semata-mata.
MRT merupakan kemudahan awam yang dikongsi ramai dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaganya dengan baik.
Aksi seperti meletakkan beg di atas kerusi, minum dan memanjat tiang dalam tren juga mencerminkan sikap tidak timbang rasa sesetengah rakyat.
Mungkin ada perkara yang perlu kita pelajari daripada rakyat Singapura dalam isu MRT.
Isu sampah di MRT Singapura seolah-olah tidak wujud dan kepatuhan mereka untuk tidak makan atau minum di dalam pengangkutan awam harus dicontohi.
Paling penting, mereka dilihat sentiasa beratur semasa menunggu tren dan memberi laluan kepada penumpang yang mahu keluar.
Disiplin yang tinggi seperti inilah yang patut kita teladani sebagai pengguna MRT.
Rata-rata masyarakat di negara maju sangat menghargai prasarana awam kerana kemudahan tersebut merupakan pengangkutan awam utama mereka.
Langkah Pencegahan
Dalam pada itu, pelbagai langkah pencegahan dan kawalan keselamatan telah disaran dan dilaksanakan untuk mengawasi dan mencegah sebarang jenayah atau perlakuan yang tidak diingini.
Langkah MRT Corp yang memasang 6,018 buah CCTV di dalam tren dan sekitar kawasan
stesen juga harus dipuji.
Hal ini ditambah dengan gesaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Sistem Pemantauan Berpusat diwujudkan bagi mengetatkan lagi keselamatan.
Selain itu, permintaan Ahmad Zahid kepada pihak MRCB, Prasarana, MRT, LRT, KTMB untuk meningkatkan jumlah polis bantuan juga diharap menjadi faktor tiada kes vandalisme berlaku di MRT.
Bagaimanapun, langkah-langkah itu hanyalah bagai mencurah air ke daun keladi jika rakyat Malaysia sendiri tidak sedar kepentingan menjaga harta benda awam.
Seyogia, langkah pencegahan yang terbaik bermula daripada pendidikan awal di rumah.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam melentur sikap tanggungjawab dalam diri anak-anak mereka.
Semakin usia meningkat dewasa, mereka akan sedar kepentingan menjaga harta benda awam.
Dari sinilah masyarakat Malaysia akan lebih menghargai pengangkutan awam, lantas memacu
ke arah mentaliti penggunaan kelas pertama seperti yang diimpi kerajaan.
Lantas, wang ringgit dan sumber lain yang mungkin diperuntukkan untuk pencegahan dan
pembaikpulihan kemudahan dapat dimanfaatkan dalam sektor lain yang lebih memerlukan dana.
Di sebalik segala kejadian tidak menyenangkan di MRT, keyakinan dan kepercayaan tetap diletakkan pada bahu setiap rakyat negara ini.
Bukan tidak ada perlakuan baik dilakukan di dalam MRT seperti penumpang yang menawarkan tempat duduk kepada OKU, warga emas dan wanita mengandung, termasuk kepada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil namun, biarlah kisah 'hero rakyat' itu didiamkan sahaja.
Kita lihat dari sudut positif, setiap yang berlaku merupakan proses pembelajaran ke arah kebaikan dan perjalanan itu pasti penuh berliku sebelum apa sahaja kejayaan boleh diraih.
Paling penting misi melihat pemikiran rakyat negara ini seiring mentaliti negara maju menjadi kenyataan.
MRT ialah sesuatu yang harus dihargai, disayangi dan sebarang perbuatan negatif kepada sistem pengangkutan awam itu seolah-olah membalas 'hadiah' kerajaan dengan tuba yang paling berbisa.
*Afza Fahmidah merupakan pelajar tahun akhir di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).
**Kenyataan dalam artikel ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#budaya penggunaan
#CCTV
#Gangguan Perkhidmatan
#jenayah
#kerajaan
#keselamatan
#langkah pencegahan
#London
#MRT
#New York
#perbandingan
#prasarana
#SBK
#Singapura
#TN50
#tren
#Vandalisme