Jangan rakam gambar ketika memandu walaupun untuk perhatian JPJ - JPJ Kedah

Bernama
Januari 26, 2017 12:29 MYT
Hendak merakam boleh, tapi biarlah dilakukan penumpang lain dalam kenderaan dan bukannya pemandu itu sendiri. - - Gambar hiasan
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata pemandu kenderaan tidak boleh merakam gambar atau video mengenai kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya yang lain walaupun ia bertujuan untuk disalurkan kepada JPJ.
Beliau berkata pemandu berkenaan boleh diambil tindakan jika berbuat demikian kerana penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan kesalahan di bawah Kaedah 17 A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda sebanyak RM300.
"Memang kita galakkan orang ramai membantu salurkan maklumat melalui pelbagai aplikasi, tapi sepatutnya gambar atau video mestilah diambil oleh orang lain dalam kenderaan dan bukannya pemandu itu sendiri," katanya kepada pemberita.
Beliau melancarkan Ops Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri Kedah di sini malam tadi.
Sebanyak 560 kenderaan diperiksa dalam operasi di sekitar Jalan Pegawai di sini dan 75 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
-- BERNAMA
#Akta Pengangkutan Jalan #JPJ #kesalahan lalu lintas #rakam video
;