Jangan politikkan TN50 - Najib

Bernama
Januari 21, 2017 08:52 MYT
Najib juga memberi jaminan bahawa suara anak-anak muda akan didengari dan anak-anak muda akan mencorak perjalanan masa depan negara. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan pada Khamis tidak perlu dipolitikkan.
Perdana Menteri berkata diskusi dan perancangan TN50 adalah asas untuk kerajaan merancang proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baharu.
"TN50 atau Transformasi Nasional 2050 adalah milik kita bersama.
"Proses wacana nasional yang bermula semalam dan bakal dilangsungkan sepanjang tahun ini adalah untuk anda semua berkongsi dengan kerajaan aspirasi anda untuk Malaysia," kata Najib dalam catatan di laman rasmi Facebook beliau malam tadi.
Najib berkata beliau berpegang teguh kepada kata-kata pujangga, "A politician thinks of the next election, a statesman thinks of the next generation".
Beliau berkata Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan pada 2010 telah meletakkan negara di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020, yang hanya tiga tahun dari sekarang.
"Namun, kita perlu berpandangan jauh, tidak patut leka dan terlalu khusyuk dengan pencapaian dalam masa tiga tahun ini sehinggakan ia menghalang kita daripada mengatur langkah dan bersiap sedia untuk perjalanan baharu bagi Malaysia iaitu pasca 2020," katanya.
Najib juga memberi jaminan bahawa suara anak-anak muda akan didengari dan anak-anak muda akan mencorak perjalanan masa depan negara.
"Saya berasa gembira kerana dapat bersama dengan para belia semalam di Universiti Malaya dan mendengar sendiri aspirasi mereka.
"Kerajaan kita pada hari ini adalah kerajaan yang sedia mendengar dan menggunakan pendekatan 'bottom-up' (dari bawah ke atas). Insya-Allah, idea-idea yang telah diutarakan ini akan diteliti, dikaji dan diambil kira," kata Najib.
-- BERNAMA
#Najib Tun Razak #TN50
;