Jangan politikkan isu kebajikan penjawat awam - Cuepacs

Bernama
Mei 3, 2024 19:10 MYT
Adnan berkata berita baik kepada penjawat awam yang diumumkan pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya itu tidak wajar dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu kebajikan penjawat awam termasuk pengumuman kenaikan gaji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1 Mei lepas.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata Cuepacs kecewa apabila isu kenaikan gaji penjawat awam mula dipolitikkan sehingga timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan itu melalui penolakan sokongan di Parlimen.
"Penjawat awam telah lama menantikan penyelarasan semula skim gaji supaya mampu menampungi peningkatan kos sara hidup semasa. Jangan emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang melibatkan peruntukan lebih RM10 billion, yang akan dibentangkan di Belanjawan 2025 pada Oktober ini.
Selain itu, Adnan memohon ahli politik bersikap lebih matang dan bijak serta bertanggungjawab dalam memainkan isu yang hendak diketengahkan.
"Janganlah kita mewujudkan polemik dan kegusaran terhadap usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Selain itu, Adnan berkata berita baik kepada penjawat awam yang diumumkan pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya itu tidak wajar dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.
"Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei telah wujud begitu lama dan disambut saban tahun. Sambutan itu merupakan ruang untuk kerajaan mengumumkan sebarang usaha untuk meningkatkan kebajikan golongan pekerja termasuklah penjawat awam dan pekerja sektor swasta," katanya.
PRK KKB, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada Selasa depan.
-- BERNAMA
#cuepacs #Adnan Mat #penjawat awam #kenaikkan gaji #dipolitikkan
;