Jangan pinggirkan hak dan budaya orang asal Sabah - Aktivis

Assim Hassan
September 2, 2020 12:46 MYT
VERDON berkata, perkara itu perlu diatasi segera dalam memastikan nasib golongan ini dan khazanah budaya mereka tidak terhakis.
Hak orang asal Sabah dilihat semakin terpinggir ekoran ketidaktentuan kuasa politik dan kuasa luar yang menidakkan hal-hal kumpulan ini.
Aktivis orang asal Sabah, Datuk Verdon Bahanda berkata, perkara itu perlu diatasi segera dalam memastikan nasib golongan ini dan khazanah budaya mereka tidak terhakis.
Malah tegasnya, isu pemilikan tanah, penempatan serta budaya dan adar resam merupakan isu utama melibatkan orang asal Sabah.
"Ini yang harus diberi penekanan bila mana kita mempunyai kerajaan negeri yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Saya mengharapkan isu-isu utama ini diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana dalam arus pembangunan kita tidak boleh menidakkan khazanah kebudayaan dan adat resam setiap orang asal ini," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Selain itu, Verdon menjelaskan, dalam usahanya memperjuangkan hak orang asal Sabah, dia tidak dapat lari daripada berdepan rintangan dan cabaran.
Lebih menyedihkan apabila usahanya itu dipolitikkan sekali gus perjuangan itu dilihat sebagai isu perkauman.
"Bila kita menentang atau melaung-laungkan hak-hak orang asal ini maka ada yang mendakwa seolah-olah saya ini menuduh sebahagian suku-suku yang ada di Sabah sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Sebagai contoh, apabila saya membangkitkan isu orang asal dan saya daripada suku kaum Rungus maka saya dilabel memainkan isu perkauman dan hanya memperjuangkan suku Rungus. Ïni adalah persepsi yang tidak betul," katanya.
Selain itu Verdon menjelaskan definisi orang asal yang diperjuangkan olehnya ialah terdiri daripada masyarakat yang sudah bermastautin di Sabah sejak sebelum kemerdekaan.
#adat resam #Aktivis orang asal Sabah #Datuk Verdon Bahanda #hak dan budaya #Oran asal Sabah #pendatang asing tanpa izin #perjuangan #Suku kaum
;