Jangan pilih kasih dalam beri bantuan kepada mangsa banjir - Sultan Pahang

Bernama
Oktober 15, 2024 16:33 MYT
Al-Sultan Abdullah mengingatkan mangsa banjir agar banyak bersabar dan tidak mudah menyalahkan mana-mana pihak jika terdapat isu yang berbangkit. - Gambar fail/Bernama
TEMERLOH: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya pihak yang terlibat menguruskan banjir tidak memilih kasih dalam memberikan bantuan.
Al-Sultan Abdullah mengingatkan mangsa banjir agar banyak bersabar dan tidak mudah menyalahkan mana-mana pihak sekiranya terdapat isu yang berbangkit.
"Saya juga nak nasihatkan apabila di pusat pemindahan sementara (PPS) jangan cepat naik darah dan menyalahkan mana-mana pihak, saya harap pegawai kerajaan juga bagi bantuan sebaik mungkin dan sama-sama membantu ketika berada di PPS," titah baginda
Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Mentakab di sini.
Terdahulu baginda berkenan melawat PPS Sekolah Kebangsaan Desa Bakti di sini selain mengurniakan sumbangan kepada lebih 300 ketua isi rumah yang ditempatkan di dua pusat pemindahan berkenaan.
Setakat 2.10 petang, seramai 1,365 mangsa banjir daripada 398 keluarga ditempatkan di tujuh PPS yang beroperasi di Temerloh.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya mangsa banjir akur arahan berpindah ke PPS oleh pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing.
Simpati dengan keadaan mangsa banjir, baginda turut mendoakan agar bencana itu segera pulih selain menasihatkan supaya mereka menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama yang mempunyai anak kecil.
"Sekarang musim dah tak menentu akibat perubahan iklim, kita harus bersedia sentiasa mungkin tahun ini agak cepat daripada tahun sebelumnya, jadi kita harap habis (banjir) juga cepat...sama-sama kita doa," titah baginda.
Sultan Pahang juga bertitah supaya projek tebatan banjir di negeri itu dipercepatkan oleh kerajaan demi kesejahteraan penduduk.
"Saya harap kurangkan retorik, cepatkan projek tebatan banjir, khusus di Sungai Semantan, Temerloh ini selain sungai-sungai dapat didalamkan lagi," titah baginda.
-- BERNAMA
#bantuan #mangsa banjir #pilih kasih #Sultan Pahang
;