Jangan 'petik' nama atasan PDRM untuk bebas lakukan kegiatan tidak bermoral
Astro Awani
Februari 3, 2022 16:24 MYT
Februari 3, 2022 16:24 MYT
KUALA LUMPUR : Jangan cuba petik ‘nama atasan PDRM’ untuk bebas melakukan kegiatan tidak bermoral.
Itu amaran tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sindiket perjudian dalam talian yang didakwa mengguna nama pucuk pimpinan institusi itu sebagai jaminan kononnya premis mereka kebal dari tindakan serbuan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sindiket judi dalam talian disyaki sengaja mengadakan cerita bahawa telah mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak atasan PDRM.
Taktik itu kononnya untuk ‘menakut-nakutkan’ anggota polis bagi mengambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan terhadap aktiviti perjudian itu.
“Sindiket perjudian online ini dipercayai sengaja mengadakan cerita bahawa mereka telah mendapat kebenaran beroperasi daripada pihak atasan bagi (mengelakkan) diambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan terhadap aktiviti perjudian yang mereka jalankan.
“Penggunaan nama pihak atasan juga dipercayai untuk memberi tarikan dan jaminan kepada pemain atau pengunjung untuk bermain judi di premis tersebut, yang dipercayai ‘kebal’.
“Mereka cuba mengatakan bahawa tempat mereka telah mendapat kebenaran (beroperasi), maka mereka ‘kebal’ daripada tindakan-tindakan di peringkat balai, di peringkat daerah ataupun kontinjen. Ini tidak betul sama sekali,” tegas Abd Jalil.
Justeru, Bukit Aman bersama kontinjen seluruh negara telah melancarkan Op Dadu sejak 15 Januari hingga 2 Februari lalu.
Hasilnya, seramai 1,355 orang termasuk penjaga premis ditahan.
Sejumlah 2,558 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM189,196 dirampas dalam 826 serbuan.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tangkapan terbanyak, iaitu 342 orang ditahan dalam 132 serbuan.
PDRM yang tidak berkompromi dengan sindiket judi dalam talian, tegas Abd Jalil, tidak pernah memberikan lampu hijau kepada mana-mana sindiket untuk menjalankan aktiviti judi dalam talian ini untuk beroperasi.
PDRM juga berkerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi memastikan tiada anggota dan pegawai PDRM bersongkol dengan sindiket judi dalam talian.
Malah, setiap laporan operasi akan dirujuk kepada JIPS bagi penilaian lanjut membabitkan anggota dan pegawai yang terlibat operasi.