Jangan pertikai keputusan Dr Mahathir lanjut perkhidmatan CEP - Khairuddin
Astro Awani
Ogos 17, 2018 08:17 MYT
Ogos 17, 2018 08:17 MYT
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid seharusnya berfikiran lebih matang dan tidak mempertikai isu lanjutan perkhidmatan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diumum Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Abdullah Sani seharusnya memberi fokus kepada pembinaan semula negara dan tidak mengungkit mengenai tempoh masa penyerahan jawatan Perdana Menteri.
"Kerana melanjutkan perkhidmatan CEP, itu bukan menunjukkan Dr Mahathir membuat keputusan tidak mahu berundur.
"Apakah Abdullah Sani sedar keadaan perbendaharaan negara berada di tahap yang amat kritikal pada saat ini? Perkhidmatan ahli-ahli CEP masih diperlukan untuk menasihati kerajaan dalam pelbagai bidang ke arah membina semula negara.
"Abdullah Sani juga harus yakin bahawa Dr Mahathir pun tidak mahu 'menongkat langit' sampai bila-bila. Semua pihak sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri kelapan dan sudah diperjelaskan berkali-kali oleh Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khairuddin mengulas dakwaan Abdullah Sani, juga Ahli Parlimen Kapar, bahawa lanjutan perkhidmatan CEP merupakan bukti Dr Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Kata Abdullah Sani, Dr Mahathir pernah memberi bayangan hampir sama sebelum ini, apabila mengumumkan beliau akan terus memegang jawatan itu jika rakyat masih memerlukannya.
Dalam pada itu, tegas Khairuddin, paling penting sekarang adalah meyakinkan rakyat mengenai kemampuan mengotakan segala janji-janji dalam manifesto PH.
"Kalau Abdullah Sani hendak mencari populariti di saat PKR sedang menghadapi musim pemilihannya, beliau harus bertanding secara 'gentleman'.
"Jangan sama sekali membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dengan mengaitkan orang lagi bagi dia mendapat undi popular.
"Pada hakikatnya, Abdullah Sani sedang mensabotaj PH. Tindakan itu akan membuatkan rakyat hilang keyakinan kepada PH," tegasnya.
Tambah Khairuddin, sebarang isu harus dibangkitkan melalui saluran dalaman dan Abdullah Sani perlu berjumpa sendiri dengan Dr Mahathir.
"Abdullah Sani adalah seorang Ahli Parlimen dan boleh membuat temujanji untuk berjumpa dengan Dr Mahathir pada bila-bila masa.
"Dr Mahathir amat ikhlas dan sentiasa mengalu-alukan teguran yang membina. Sikap Abdullah Sani amatlah tidak wajar dan boleh meruntuhkan kewibawaan PH," ujarnya.
Jelas Khairuddin, PKR juga seharusnya membawa Abdullah Sani ke jawatankuasa disiplin parti untuk mengelakkan perkara negatif itu tidak berulang lagi.
#100 hari
#Abdullah Sani Abdul Hamid
#Anwar Ibrahim
#CEP
#disiplin
#janji
#Khairuddin Abu Hassan
#lanjut perkhidmatan
#Mahathir Mohamad
#Majlis Penasihat Kerajaan
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#PKR
#sabotaj