Jangan perkecil usaha Saarani bantu ringan beban rakyat - Faizal Azumu

Abd Razak Mohd Ali
Jun 17, 2021 15:07 MYT
FAIZAL: Dalam keadaan negara sedang memerangi pandemik COVID-19, kerjasama erat dan utuh perlu diperkemaskan dari pelbagai sudut. - Gambar fail
IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengecam tindakan beberapa pihak yang menyindir atau memperkecilkan usaha serta sumbangan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam membantu meringankan beban rakyat.
Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu adalah satu perkara yang tidak beretika serta mengecewakan dari sudut hubungan sesama manusia dan sesuatu kejadian.
Menurutnya, dalam keadaan negara sedang memerangi pandemik COVID-19, kerjasama erat dan utuh perlu diperkemaskan dari pelbagai sudut.
Katanya, dengan matlamat menamatkan penularan wabak itu secepat mungkin, rakyat Perak khususnya perlu memainkan peranan dalam memastikan tumpuan sepenuhnya terhadap permasalahan yang timbul.
“Biarlah berbeza dari pandangan politik mahupun perjuangan parti namun kejadian kita tetap sama dan asal usul kejadian kita adalah dari yang Maha Esa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak berharap agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dan mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat negeri Perak khasnya dan rakyat Malaysia secara umum.
“Bersamalah kita berganding bahu dalam memerangi musuh utama (COVID-19) negara.
“Sebarkanlah kesedaran bagi menerima vaksin dengan lebih segera dan marilah kita membantu kerajaan dalam merealisasikan matlamat peratus vaksinasi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa pihak menyindir usaha kerajaan negeri Perak memberi telefon pintar percuma yang disumbangkan sebuah yayasan kepada pelajar golongan B40 melalui insentif Tuisyen Cikgu Saarani.
Mereka mendakwa telefon itu berkualiti rendah walaupun telah diperjelaskan bahawa ia sesuai untuk program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
#Ahmad Faizal Azumu #Bersatu Perak #Saarani Mohamad #sumbangan #telefon pintar #PdPR #pelajar #COVID-19
;