Jangan perkecil usaha kerajaan bantu orang Melayu, Bumiputera - PM

Madiha Abdullah
Mac 15, 2025 15:30 MYT
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA MADANI sempena Sambutan Hari MARA Ke-59 di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk memartabatkan dan melindungi kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera tidak boleh diperkecilkan.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha kerajaan untuk memartabatkan dan melindungi kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak boleh diperkecilkan.
  • Anwar mengarahkan institusi pendidikan seperti MRSM untuk meningkatkan kemasukan pelajar dalam aliran STEM, dengan 70% kemasukan baharu bermula tahun depan.
  • Wakaf MARA Madani ditubuhkan untuk mewujudkan masyarakat Bumiputera yang sejahtera secara sosio-ekonomi melalui instrumen wakaf.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa sahaja pandangan rakyat negara ini, hakikatnya ialah dasar Bumiputera dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu kebangkitan dan meningkatkan kedudukan orang Melayu.
“Kerajaan Madani komited malah dalam kongres ekonomi bumiputera saya sebut ada beberapa langkah yang ketara yang dilakukan. Dasar kita, dasar pro rakyat. Dasar kita tidak meminggirkan rakyat.
"Dasar tidak membiarkan seorang pun warga negara tidak kira kaum dan wilayah. Dasar yang tidak mengizinkan penganiayaan.
"Dasar yang memberi keadilan kepada semua. Tapi dasar kita dalam mempertahankan kedudukan Bumiputera tidak pernah kita berganjak,”katanya.
Jangan ganggu usaha pembangunan semula bandar - PM
Tambah Anwar, banyak pendekatan sudah pun dilaksana bagi memenuhi matlamat itu termasuk menjadikan kawasan Bandar Malaysia seluas 50 ekar sebagai rizab Melayu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan semua institusi pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah sains dan sekolah menengah agama untuk mengambil langkah segera dalam menangani isu kemerosotan minat anak-anak Melayu terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Beliau juga mengarahkan agar 70 peratus kemasukan baharu di institusi terbabit diisi pelajar dalam aliran STEM, bermula tahun depan.
“(Mungkin) ada ibu bapa yang tak senang. (Mungkin) ada tekanan dari ketua-ketua politik tapi saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kekuatan untuk kata tidak jika perlu.
“Kita akan kata tidak sebab kita mahu rakyat, khususnya Melayu dan Bumiputera mendapat manfaat daripada pembangunan negara,” tegasnya.
Jelas Anwar, ketika perbincangan rancak mengenai teknologi dan kecerdasan buatan, prinsip asasnya iaitu akhlak dan nilai tidak boleh diketepikan.
Justeru, perubahan sikap diperlukan dan semua jabatan serta agensi harus mula melihat ke hadapan.
Beliau sekali lagi memberi amaran agar nama Melayu dan Bumiputera tidak dipergunakan untuk mengkhianati usaha yang dilakukan kerajaan.
Anwar mendakwa terdapat segelintir pemimpin Melayu daripada parti Melayu dan Islam yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak pernah memberi cadangan bernas untuk membantu orang Melayu di kawasan bandar.
"Jika anda mempunyai idea untuk diketengahkan atau dicadangkan, silakan, tetapi jangan khianati usaha kami," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian inisiatif Wakaf MARA Madani sempena sambutan Hari MARA ke 59, pada Sabtu.
Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing turut memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000.
Wakaf MARA Madani ditubuhkan untuk bertindak sebagai pemangkin bagi mewujudkan masyarakat Bumiputera yang memiliki kesejahteraan sosio-ekonomi, dengan menggunakan instrumen wakaf secara lestari.
#Anwar Ibrahim #Ahmad Zahid Hamidi #bantu golongan miskin #RUU Pembaharuan Semula Bandar #Asyraf Wajdi Dusuki
;