Jangan pengaruhi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat demi kepentingan politik - Mukhriz

Firdaus Azil
Februari 15, 2021 17:56 MYT
Mukhriz harap jawatankuasa itu dapat memberi nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan tempoh darurat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini menzahirkan kebimbangan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, akan dikawal pihak berkepentingan untuk tujuan tertentu.
Presiden (Penaja) Pejuang Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, keadaan itu berlandaskan faktor hanya tiga wakil pembangkang yang dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut.
Ujar Ahli Parlimen Jerlun itu lagi, biarpun jawatankuasa itu dipengerusikan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, namun Pejuang khuatir wakil ahli politik kerajaan akan mempengaruhi sebarang keputusan demi kepentingan tertentu.
"Saya bangkitkan perkara ini kerana kita bimbang akan ada nanti atas kepentingan pihak tertentu, walaupun tiga orang wakil rakyat pembangkang tidak bersetuju, mungkin majoritinya buat keputusan untuk menamatkan darurat dengan tujuan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
"Pada hemat kami, (jika ini berlaku), ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kerana kita tahu setelah berlaku Pilihan Raya Negeri di Sabah, ketika itu kita lihat penularan jangkitan ini meningkat mendadak, dan mengancam nyawa rakyat bukan hanya di Sabah, tetapi di seluruh negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media Pejuang, berhubung isu-isu semasa serta pendaftaran parti, yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Pada 9 Februari lepas, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengumumkan senarai 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Menurut kenyataan PMO, jawatankuasa itu berperanan menasihati Seri Paduka Baginda mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia, dan penamatannya.
BACA: Tun Arifin Zakaria ketuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
[INFOGRAFIK] Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
Mengikut senarai berkenaan, terdapat empat Ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan, dan tiga lagi mewakili blok Pembangkang.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang berharap agar Jawatankuasa Khas Bebas berkenaan benar-benar memantau situasi semasa berhubung COVID-19.
Selain itu, beliau berharap agar jawatankuasa yang dianggotai 19 ahli pelbagai kepakaran itu dapat memberi nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan tempoh darurat.
“Kalau mereka yakin atas fakta, atas maklumat tepat, bahawa COVID-19 ini telah selesai dengan baik, tidak akan mengancam nyawa rakyat, maka saya akan setuju sekiranya mereka mengesyorkan kepada YDP Agong, bahawa COVID dah selesai, dan darutat boleh dihentikan.
"Tetapi kalau ada unsur-unsur lain yang bukan kerana COVID-19, tapi kerana nak kelangsungan politik atau apa-apa sekalipun, yang itu kita pun tak tahu, nak buat PRU, itu yang kita bimbang,” katanya lagi.
#Mukhriz Tun Mahathir #Mukhriz Mahathir #JK Khas Bebas Darurat #Yang di-Pertuan Agong #Perdana Menteri #pembangkang #COVID-19 #Media #pilihan raya #politik #kerajaan #Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang
;