Jangan 'payung' punggung di media sosial- PU Azman ingatkan wanita
Rahimah Abdullah
Julai 22, 2018 17:14 MYT
Julai 22, 2018 17:14 MYT
Cabaran #inmyfeelingschallenge atau #kekechallange yang sedang viral di media sosial dan menjadi kegilaan serta ikutan anak-anak muda nampaknya terus mendapat perhatian beberapa Pencetus Ummah (PU).
Kalau sebelum ini PU Amin lantang mengkritik tindak-tanduk netizen terutama wanita, kali ini, PU Azman pula tampil memberi nasihat kepada pengguna media sosial kini.
Melalui sebuah video yang dimuat naik di laman Instagramnya, PU Azman menasihatkan golongan wanita agar menghentikan tindakan menayang punggung di laman sosial.
Jelasnya, Islam tidak melarang umatnya mengikut trend, namun ia tidak sepatutnya menimbulkan fitnah.
"Jangan muat naik sebarang video di sosial media, simpan untuk peribadi, simpan untuk suami. Jangan payung tubuh badan, jangan payung punggung, simpan untuk suami walaupun kau pakai baju kurung atau jubah tetapi pergerakan itu boleh menimbulkan fitnah dan ia merupakan aurat," katanya di Instagram.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan golongan lelaki agar tidak memuat naik gambar atau video berpakaian wanita.
"Ini lembut nasihat saya bukan keras, kami sayangkan kau," ujarnya.