Jangan panik terima panggilan mencurigakan - Polis
Bernama
Mac 5, 2020 04:56 MYT
Mac 5, 2020 04:56 MYT
Panik dan tidak mampu mengawal diri menjadikan seseorang itu mudah diperdaya oleh panggilan telefon palsu yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan atau 'scam'.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah berkata berdasarkan beberapa siasatan kes sebelum ini, pihaknya mendapati kelemahan itu menyebabkan mangsa mudah menyerahkan atau berkongsi maklumat peribadi dengan pemanggil yang tidak dikenali.
"Saya sering memberi nasihat mengenai perkara ini, kalau ada panggilan yang mencurigakan, hentikan segera perbualan, kalau ada unsur ugutan dan tak pasti, hubungi segera pihak berkuasa atau balai polis terdekat, jangan panik.
"Ada juga kes mangsa takut apabila mereka terima panggilan polis nak datang tangkap, saya tegaskan di sini, tak ada mana-mana anggota polis nak pergi tangkap orang hanya guna telefon, sama lah jabatan lain," katanya ketika ditemui pada program Kempen Kesedaran dan Pencegahan Jenayah sempena Program Keselamatan Kejiranan Daerah Kuala Muda di sini, pada Khamis.
Muhammad Azlee berkata mangsa penipuan panggilan palsu termasuk individu terpelajar dan profesional selain golongan suri rumah.
Justeru, beliau berharap program kesedaran yang diadakan seperti hari ini dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pelbagai bentuk jenayah dan menghindari mereka daripada menjadi mangsa.
-- BERNAMA
#maklumat peribadi
#mangsa penipuan
#Muhammad Azlee Abdullah
#panggilan
#scam
#sindiket penipuan
#timbalan ketua polis kedah