'Jangan panggil Najib mantan, tapi bekas ...' - Mohamad Hasan

Harits Asyraf Hasnan
Februari 7, 2019 20:14 MYT
TOK MAT: 'Jangan panggil Najib mantan, tapi bekas ...'. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Penampilan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Bicara Minda - forum anjuran Sinar Harian mencuit hati penonton yang hadir.
Selain menyelit peribahasa, perumpamaan dan gurindam, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat turut memberi pandangan beliau berkenaan terma panggilan yang sesuai buat Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tatkala menjawab soalan moderator, Tan Sri Johan Jaafar, Tok Mat sempat berseloroh membetulkan terma yang digunakan Johan.
Johan bertanya: “Salah satu peranan yang dimainkan adalah mantan Presiden (Najib). Sejauh mana pengaruh Najib dalam konteks (kemenangan) di Cameron Highlands?”
Lantas, Tok Mat menjawab: “Pertamanya, kita jangan sebut perkataan mantan Tan Sri (Johan).
“Mantan ini bukan bahasa Melayu. Mantan ni short form (kata ringkas) ‘mundar mandir tanpa jawatan,” di susuli ketawa oleh beliau serta hadirin.
“Jadi kita sebut bekas lah kan. Saya pun tak suka orang panggil saya mantan,” tambah Tok Mat.
Selain itu, Tok Mat turut memberi beberapa perumpamaan yang cukup jelas menggambarkan apa yang dilalui UMNO pasca Pilihan Raya Kecil Ke-14 (PRU14).
Ditanya berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpandangan UMNO ketika ini hanya untuk mengekalkan Najib.
Jawab Tok Mat:
“Macam ni-lah Tan Sri. Bak kata orang tua-tua:
“Nak tahu panjang, berlikunya sungai, tanya pada seluang. Dalamnya lubuk, tanya memerang. Nak tahu lebarnya padang, tanya pada belalang. Nak tahu tebalnya hutan, tanya pak belang. Nak tahu eloknya orang, tanya pada kawan. Nak tahu tak eloknya orang, tanya pada lawan.
“Tan Sri tanya (berkenaan UMNO) kepada lawan, tak elok lah jawabnya,” seraya hadirin ketawa dengan jawapan Tok Mat itu.
#Bicara Minda #Johan Jaafar #Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #Mohamad Hasan #Najib Razak #Pakatan Harapan #PRK Cameron Highlands #PRU14 #Sinar Harian #UMNO
;