'Jangan pandang rendah kerjaya badut'

Sinar Harian
Jun 15, 2024 14:15 MYT
Walaupun pernah dihakimi oleh masyarakat sekeliling, pasangan ini hanya memekakkan telinga dan menepis persepsi dengan menjalani kehidupan serba cukup. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: "Tiada niat untuk riak, jauh sekali mendabik dada dengan rezeki yang dikurniakan Allah buat kami sekeluarga. Saya hanya mahu orang tidak pandang rendah kerjaya sebagai badut."

Ringkasan AI
  • Norsalina Abdul Aziz, 36 tahun, menjelaskan bahawa tidak ada niat untuk berlagak atau membangga-bangakan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada keluarganya, yang hidupnya dikekalkan melalui pekerjaan suaminya sebagai badut sepenuh masa.
  • Norsalina dengan bangganya berkongsi bahawa suaminya mampu menyediakan segala keperluan mereka termasuk bercuti ke luar negara, berpeluang melakukan umrah, memiliki rumah, dan emas perhiasan.
  • Walaupun kadang-kadang dihakimi oleh masyarakat, Norsalina dan suaminya tidak terpengaruh dan meneruskan hidup mereka dengan penuh keyakinan bahawa pekerjaan sebagai badut juga mampu memberikan masa depan yang stabil dan cukup untuk keluarga mereka.

Demikian penjelasan Norsalina Abdul Aziz, 36, isteri kepada Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani, 37, yang terlibat dalam perkhidmatan badut secara sepenuh masa.
Malah wanita berasal dari Negeri Sembilan itu amat berbangga dengan kerjaya itu kerana suaminya mampu menyediakan keperluan dan kesenangan kepada mereka sekeluarga.
Menerusi hantaran di laman TikTok, Norsalina memuat naik video mengenai perjalanan kerjaya suaminya sebagai 'penceria' acara sehingga mampu memberi kemewahan antaranya bercuti ke luar negara, berpeluang mengerjakan umrah, membeli sebuah rumah dan emas perhiasan.
"Sebenarnya semua ini tak dirancang, saya pun tak tahu video itu boleh tular. Niat saya hanya berkongsi pada mereka yang melihat supaya jangan sesekali memandang rendah pekerjaan seseorang.
"Rezeki bukan hanya datang dari pekerjaan kita, tetapi dari Allah. Dia berkuasa untuk beri rezeki selagi mana kita usaha dan yakin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Menyingkap kisah hidup mereka, Norsalina memaklumkan, keluarga tidak menolak pilihannya ketika di awal perkahwinan, bahkan menerima pekerjaan Muhammad Ar-Rabi sebagai badut.
Malah menurut wanita itu, ibunya menyifatkan bakal suaminya seorang lelaki yang berani menggalas tanggungjawab untuk menampung kehidupan.
Walaupun pernah dihakimi oleh masyarakat sekeliling, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata itu hanya memekakkan telinga dan menepis persepsi dengan menjalani kehidupan serba cukup.
"Alhamdulillah, belum lagi makan pasir (kerana) suami buat kerja ini. Ada yang kata badut tak menjamin masa depan, sedangkan dengan kerja inilah suami dapat bawa kami sekeluarga bercuti luar negara.
"Saya terima banyak respons, ada juga yang terinspirasi dengan perkongsian kisah hidup kami.
"Ada juga yang kata saya riak bila berkongsi (kemewahan), namun niat saya hanya mahu masyarakat lihat kerjaya badut juga mampu menjamin masa depan," ujarnya. - Sinar Harian
#kerjaya badut #Tular #masa depan #Norsalina Abdul Aziz
;