Jangan pandang negatif aktiviti kelab motosikal besar

Astro Awani
Mei 3, 2017 23:01 MYT
Mohd Izwan Shahbudin atau lebih dikenali dengan gelaran Rossi Malaysia (baju biru) bergambar bersama ahli Kelab Yamaha YZF-R25 Malaysia - Gambar fail
Masyarakat seharusnya tidak terburu-buru melempar pandangan negatif terhadap pelbagai aktiviti kelab motosikal besar di negara ini.
Pengerusi Penganjur Kelab Yamaha R25 Malaysia, Haziq Sazali berkata, penganjuran program sebenarnya bakal mengeratkan lagi komuniti sedia ada yang biasanya berbincang secara atas talian.
"Malah apabila kami bertemu, penunggang motosikal dapat berkongsi pandangan dan pendapat berkenaan motorsikal dan teknik gaya tunggangan yang baik untuk penunggang terutamanya di litar.
"Program perjumpaan biasanya telah dirancang kira-kira tiga bulan sebelum selain pengisian aktiviti yang berfaedah dan memberi impak positif kepada ahli dan masyarakat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Kata Haziq, pertemuan ahli Kelab Yamaha YZF-R25 Malaysia yang diadakan di Taman Empangan, Presint 5 di Putrajaya pada cuti Hari Pekerja baru-baru ini merupakan perhimpunan terbesar 1Malaysia yang diadakan mereka.
"Kehadiran lebih 400 buah motorsikal dari seluruh negeri dalam majlis yang disusuli dengan beberapa aktiviti cabutan bertuah seperti Tupai Tercantik (R25) selain kehadiran ikon Motorsikal Malaysia, Mohd Izwan Shahbudin atau lebih dikenali dengan gelaran Rossi Malaysia.
"Selain itu, ikon penunggang wanita, Yulina turut hadir untuk memberi sokongan kepada penunggang wanita yang hadir dalam majlis tersebut," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, ahli kelab terdiri dari pelbagai jenis lapisan umur dan majoriti penunggang motorsikal terdiri dari golongan yang bekerjaya dan berumur sekitar 25 sehingga 31 tahun.
"Hampir kebanyakkan pemilik motorsikal YZF R25 sanggup berhabis duit untuk membeli motorsikal secara tunai demi minat masing-masing.
"Sementara tidak ramai gadis yang meminati untuk menyertai sukan bermotor terutamanya di litar.
"Bagaimanapun, penunggang wanita sedia ada dalam komuniti R25 merupakan antara penunggang yang paling ramai memasuki litar untuk mengisi masa lapang," ujarnya.
#ikon Motorsikal #sukan #Yamaha R25
;