Jangan omong kosong, tunaikan janji dalam manifesto - Pengundi muda
Bernama
Ogos 3, 2023 17:22 MYT
Ogos 3, 2023 17:22 MYT
CHUKAI: Golongan pengundi muda kini menjadi tumpuan dalam landskap politik negara dan peranan mereka dilihat mampu memberi impak ketara dalam menentukan kemenangan parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu ini.
Kelompok pemilih berusia 18 hingga 20 tahun ini mula keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022 diikuti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga November tahun sama.
Pelbagai perancangan dan janji yang rata-rata memberi fokus kepada keperluan anak muda dibuat calon-calon bertanding dan dimasukkan dalam manifesto parti-parti untuk meraih undi.
Melihat kepada trend ini, seorang penuntut institut pengajian tinggi awam, Nur Akma Zahidi, 23, berkata setiap manifesto yang ditawarkan oleh parti politik yang bertanding kali ini secara dasarnya amat baik namun berharap jangan sampai janji-janji tidak dapat dikotakan.
"Kami anak muda mengikuti perkembangan parti politik terutamanya menerusi media sosial. Saya lihat manifesto mereka banyak yang menyentuh dan memperjuangkan nasib golongan muda.
Tetapi saya juga tertanya-tanya adakah semua manifesto yang ditawarkan itu mampu dilaksanakan kerana ada seperti sukar dipercayai. Harapan saya agar parti politik terbabit tidak menjadikan ia sebagai umpan untuk meraih undi daripada kami," katanya kepada Bernama.
Pelajar kolej vokasional di sini, Daniel Amsyar Ahmad Daud, 21, pula secara terang menyatakan beliau akan menyokong parti yang mampu membawa suara anak muda kerana dalam mendepani situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, sistem sokongan yang baik amat diperlukan untuk mengembangkan kerjaya mereka.
"Parti politik perlu jujur dalam setiap manifesto yang mereka tawarkan. Apabila saya mengundi, harapan saya adalah apa yang dijanjikan itu dapat dilaksanakan. Mereka perlu ingat, pengundi muda semakin bijak, andai mereka tidak tunaikan (janji), tidak mustahil pada pilihan raya akan datang kami akan 'menghukum' mereka," katanya.
Muhammad Hasni Muhd Hazimin, 22, pula berkata selepas tamat belajar peringkat sijil baru-baru ini, dia sukar mencari pekerjaan dan mengharapkan manifesto parti-parti politik untuk mewujudkan peluang pekerjaan di Terengganu bukannya omong kosong.
"Agak mencabar mencari pekerjaan sekarang. Kebetulan musim PRN ini banyaklah parti politik yang janjikan macam-macam antaranya mewujudkan peluang pekerjaan. Harapan saya mereka betul-betul ikhlas nak membantu anak muda dalam hal ini dan bukannya hanya untuk meraih undi daripada kami," katanya.
Barisan Nasional (BN) Terengganu sebelum ini melancarkan manifesto PRN dengan lima teras utama termasuk menumpukan kepada pembangunan dan pemerkasaan golongan belia serta remaja di negeri ini.
Antara yang ditawarkan dalam manifesto itu ialah skim latihan kepada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan elaun sebanyak RM1,500 sebulan bagi pemegang ijazah dan RM1,200 sebulan bagi diploma dalam tempoh setahun dan akan ditempatkan di mana-mana jabatan kerajaan, swasta atau milik syarikat kerajaan negeri dalam tempoh setahun.
Sementara Pas pula mengumumkan 10 tawaran antaranya menyediakan Tabung Geran Usahawan Belia sebanyak RM5 juta selain menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah maksimum RM4,000.
Menurut statistik dikeluarkan SPR, sebanyak 523,578 pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di Terengganu akan mengundi pada PRN kali ini.
Sejumlah 64,264 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun manakala 218,414 pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun dan bakinya adalah mereka yang berusia 30 hingga 39 tahun.
Mengikut pecahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), DUN Air Putih mempunyai pengundi muda teramai dengan 26,014, diikuti DUN Batu Buruk (22,406 pengundi) dan DUN Alur Limbat (20,905 pengundi).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, BN tewas selepas hanya menang 10 kerusi DUN manakala PAS menang selesa dengan 22 kerusi daripada keseluruhan 32 kerusi.
-- BERNAMA