Jangan normalkan remaja bawah umur memandu

Bernama
Ogos 15, 2024 04:50 MYT
Baru-baru negara dikejutkan dengan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta di sebuah taman perumahan di Puchong, Selangor. Kanak-kanak itu dihadapkan ke mahkamah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan untuk tidak menormalkan perbuatan memandu kenderaan oleh remaja bawah umur yang berbahaya termasuk boleh mengakibatkan kematian.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, ini susulan dua kes membabitkan remaja bawah umur yang didakwa memandu kereta dan menunggang motosikal milik anggota keluarga seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Beliau berkata, kes yang lazimnya berlaku di kawasan pinggir dan luar bandar itu bukan saja mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya tetapi turut mengancam nyawa pejalan kaki di kawasan sekitar.
"MCPF melihat punca kepada berlakunya kes sebegini disebabkan kurangnya pemantauan dan pengawasan daripada individu lebih dewasa terutama ibu bapa dan penjaga.
"Kebanyakan ibu bapa di kawasan pinggir bandar dan luar bandar ini cenderung membiarkan anak mereka mengendalikan kenderaan bermotor tanpa pengawasan.
"Lebih membimbangkan, kebanyakan kanak-kanak yang menunggang motosikal dan memandu kereta ini langsung tidak menitikberatkan aspek keselamatan seperti tidak memakai topi dan tali pinggang keledar serta membawa kenderaan tersebut secara melulu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayub berkata, perbuatan itu jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala bagi ibu bapa dan penjaga, mereka boleh disabitkan atas kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bukannya menularkan kes yang berlaku melibatkan kanak-kanak di media sosial kerana tindakan itu bertentangan dengan peruntukan subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 29 Julai lepas, tular di laman sosial seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva di Puchong, Selangor.
Dalam kejadian yang berlaku di Bachok, Kelantan pada 9 Ogos lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 bulan ditemukan lemas dalam tali air selepas motosikal roda tiga ditunggang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terjatuh ke dalam tali air sedalam tiga meter. - BERNAMA
#remaja bawah umur #memandu bawah umur #Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia #aspek keselamatan