KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata tindakan menormalisasi perilaku yang mempunyai unsur-unsur gangguan seksual seharusnya tidak boleh berlaku dalam masyarakat.

Beliau berkata tiada ruang langsung wajar diberikan kepada gangguan seksual sama ada secara terang-terangan atau jenaka.

"Sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya atau salah faham. Normalisasi perlakuan ini seharusnya tidak boleh berlaku.

"Isu gangguan seksual bukanlah sesuatu yang baharu namun adalah sangat penting dan mustahak untuk kita menguar-uarkan serta meneruskan perbincangan mengenai isu ini," katanya ketika berucap merasmikan Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat @ Advokasi Anti-Gangguan Seksual Sabah di sini hari ini.

Nancy berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah gangguan seksual menunjukkan sedikit penurunan tahun lepas iaitu 477 kes berbanding 506 pada 2021.

Beliau berkata 90 peratus daripada jumlah gangguan seksual itu melibatkan kaum wanita dengan statistik direkodkan masing-masing 416 kes tahun lepas berbanding 446 kes pada 2021 manakala gangguan seksual melibatkan kanak-kanak juga membimbangkan iaitu 35 kes tahun lepas di seluruh negara dengan empat daripadanya direkodkan di Sabah.

"Sabah adalah negeri yang mempunyai kes gangguan seksual ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur. Ini termasuk kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak," katanya.

Nancy berkata Akta Antigangguan Seksual 2022, yang dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lepas, juga diharap dapat membantu mangsa untuk tampil membuat laporan.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata program jerayawara itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memberi pendedahan mengenai gangguan seksual agar masyarakat tahu mereka tidak keseorangan dalam mendepani isu tersebut.

"Kita mahu masyarakat kita semakin hari semakin celik mengenai antigangguan seksual dan menggunakan akta yang ada agar mereka berani berkongsi tentang gangguan seksual yang berlaku terhadap mereka dengan orang dipercayai," katanya.

Nancy juga melihat kerjasama badan bukan kerajaan amat diperlukan bagi membantu pihaknya menyebar luas pengetahuan mengenai isu berkaitan gangguan seksual kepada masyarakat termasuk di luar bandar.

-- BERNAMA