Jangan nafikan kepentingan mempelajari bahasa dan budaya lain - Penganalisis

Syafik Shukri Jalil
Jun 9, 2024 17:01 MYT
Kewujudan SJK bukan satu beban kepada sistem pendidikan negara malah dilihat sebagai ruang dan peluang bagi anak-anak menguasai bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa ibunda mereka. - Foto ihsan UKM
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak boleh sama sekali menafikan kepentingan dalam mempelajari sesuatu bahasa dan budaya yang lain.

Ringkasan AI
  • Masyarakat tidak boleh sama sekali menafikan kepentingan dalam mempelajari sesuatu bahasa dan budaya yang lain.
  • Kegagalan berbuat demikian hanya menyebabkan masyarakat dan negara ketinggalan.
  • Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukan satu beban kepada sistem pendidikan negara

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, kegagalan berbuat demikian hanya menyebabkan masyarakat dan negara ketinggalan.
Malah, katanya ia juga akan menyebabkan sumber tenaga manusia negara tidak mampu bersaing di peringkat global.
"Dalam persekitaran dunia hari ini, kita memang mementingkan bahasa kebangsaan, itu tidak dapat dinafikan dan kita tidak boleh menafikannya.
"Tetapi pada masa sama kita juga harus menyediakan anak-anak kita dengan kemahiran-kemahiran pelbagai bahasa, bahasa kedua, bahasa ketiga dan sebagainya kerana itu adalah keperluan-keperluan mereka pada masa depan.
"Jadi menafikan keperluan itu akan menyebabkan anak-anak kita ketinggalan, masyarakat kita ketinggalan, dan akhirnya negara kita rugi kerana sumber manusia kita tidak bersiang, tidak kompetitif berbanding dengan masyarakat ataupun anak daripada negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas fokus perbincangan yang memberi tumpuan kepada Pendidikan di SJKC: Kelebihan atau Kekurangan? Cabaran besar murid bukan Cina di Astro AWANI pada Ahad.
BACA: SJKC: Kelebihan atau kekurangan? Cabaran besar murid bukan Cina
BACA: SJKC: Realiti bagi pelajar bukan Cina
Selain itu ujarnya, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukan satu beban kepada sistem pendidikan negara malah dilihat sebagai ruang dan peluang bagi anak-anak menguasai bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa ibunda mereka.
Hal ini kerana kelebihan menguasai bahasa asing ini dilihat sebagai satu senjata penting untuk beradaptasi dengan kepelbagaian budaya masyarakat.
"Pada hari ini anak-anak kita akan bekerja dalam satu ruang yang memerlukan mereka mempunyai kemahiran-kemahiran kepelbagaian adaptasi dan budaya masyarakat dan sebagainya.
"Malah kalau anak-anak kita menguasai lebih daripada dua bahasa itu adalah satu kelebihan yang besar kepada prestasi dan juga kemajuan kepada kerjaya mereka pada masa akan datang.
"Bagi saya kewujudan SJK ini bukan lagi menjadi satu beban kepada sistem pendidikan tetapi ia sepatutnya dilihat sebagai satu ruang untuk anak-anak bukan Cina dan India dapat belajar di sekolah-sekolah ini dan mereka dapat menguasai bahasa Mandarin, Tamil dan sebagainya," tambahnya lagi.
#SJKC #sekolah vernakular #bahasa asing #bahasa kedua #bahasa ketiga #bahasa kebangsaan
;