Jangan nafi fakta berlian merah jambu dibayar guna wang 1MDB - Rafizi
Rahimah Abdullah
April 10, 2019 05:33 MYT
April 10, 2019 05:33 MYT
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, penjelasan di Dewan Rakyat bahawa pembelian berlian merah jambu tidak didaftarkan atas nama Datin Seri Rosmah Mansor tidak menidakkan fakta siasatan Amerika Syarikat bahawa ia dibayar menggunakan wang 1MDB.
Jelasnya lagi, rakyat perlu memahami perkara itu dengan mengumpulkan fakta dengan lengkap.
“Yang saya faham dari Parlimen ialah sama ada berlian itu dibawa masuk, dibeli atau didaftarkan kepada Rosmah. Jawapan daripada kerajaan tidak. Maksudnya Rosmah tak beli atas nama dia. Sama juga harta lain.
"Hanya kerana pembayaran itu tidak didaftar atas nama sesuatu itu tidak menidakkan kes bahawa ada berlian berharga ratusan juta yang disiasat menggunakan wang 1MDB,” katanya kepada media selepas menyertai ceramah menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Rantau bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Calon PH, Dr.S.Streram pada malam Rabu.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Rosmah tidak membeli berlian itu.
Justeru persoalan yang dibangkitkan Rafizi kini ialah siapa yang bayar dan dana yang digunakan untuk membayarnya.
“Kalau ikut fakta siasatan Amerika Syarilkat bahawa berlian itu dibayar menggunakan wang 1MDB. Tiada yang persoal wang itu dibayar dan tujuannya ialah untuk diberikan hadiah pada Rosmah. Najib (pula) kata berlian itu ada, dan dibayar oleh orang lain, bukan duit 1MDB, sebagai hadiah kepada Rosmah. Tentang Rosmah yang akhirnya tidak dapat berlian itu tidak menidakkan fakta bahawa berlian itu dibeli menggunakan wang 1MDB,” katanya lagi.
“Contohnya sebelum ini apabila, Rosmah ditanya mengenai cincin dia cakap itu atas nama besan. Sama juga dengan kapal Equaminity sampai sekarang kita tak tahu siapa pemiliknya. Kita berjaya membuktikan pemilik sebenarnya ada kaitan dengan Jho Low. Jadi kalau ditanya di Parlimen adakah Jho Low memiliki Equaminity, ia akan cakap ia dimiliki syarikat sekian-sekian. Bukan Jho Low,” jelasnya lagi.
Justeru katanya, ada pihak yang memang tidak mahu menerima hakikat bahawa ‘rompakan’ memang berlaku.
“Saya yakin rakyat tak bodoh. Yang betul, akhirnya berlian itu tidak sampai ke Rosmah,” ujarnya.
#1MDB
#Anwar Ibrahim
#berlian
#berlian merah jambu
#berlian rosmah
#cincin berlian
#cincin rosmah
#Dewan Rakyat
#Jho Low
#Najib Razak
#pilihan raya
#prk rantau
#Rafizi Ramli
#Rantau
#Rantau Memilih
#Rosmah Mansor