Jangan mudah percaya testimoni, rujuk dengan doktor - Pakar perubatan
Israr Khalid
April 5, 2022 14:54 MYT
April 5, 2022 14:54 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk menjadi lebih bijak dengan tidak mempercayai bulat-bulat testimoni pengguna lain dalam membuat keputusan untuk menggunakan sebarang produk berkaitan kesihatan.
Tegas Pengarah Obstetrik dan Ginekologi Hospital UMRA, Datin Dr Ummul Wahiy Abd Hakim, tidak semua orang mendapat kesan yang sama apabila menggunakan sesuatu produk, maka perlu mendapatkan nasihat doktor.
Ketika ini segala informasi berada di hujung jari dan memang mudah untuk didapati, namun tidak semuanya benar dan sesuai dengan keadaan serta keperluan kesihatan setiap individu, jelas Dr Ummul lagi.
“Semuanya ada dalam internet dan itu banyak membantu, tapi kadang-kadang kita akan terlencong dan melihat muka surat tertentu yang bukan berdasarkan perubatan tapi kepada testimoni, cerita-cerita ‘oh saya ada masalah ini dan saya ambil produk ini maka serta-merta secara ajaibnya saya telah sembuh.’
“Saya nasihatkan supaya gunakan budi bicara untuk menilai adakah kita boleh mempercayai segala-galanya yang kita lihat di luar atau perlukah kita untuk berbicara selanjutnya dengan doktor-doktor yang kita percaya," kata beliau dalam wawancara bersama program Agenda AWANI baru-baru ini.
Tegasnya, setiap orang perlu berfikir dengan lebih kritis mengenai kebenaran setiap maklumat termasuk kandungan dan bahan dalam sesuatu produk sebelum membuat keputusan untuk menggunakannya.
Ini kerana, katanya, dikhuatiri produk tersebut tidak memberi manfaat seperti yang diharapkan, sebaliknya, lebih buruk dan membawa mudarat kepada kesihatan seseorang.
Sementara itu, Penyelia Jualan dan Pemasaran, Bahagian Komersial, Pharmaniaga Berhad, Sharon Teo Xue Yan turut senada dengan Dr Ummul bahawa setiap pengguna dan pesakit mendapat maklumat dengan jalan dan cara yang betul.
“Ia satu cabaran yang kita tak boleh elak, tapi kita mesti mendapatkan keyakinan daripada pakar-pakar perubatan untuk menjamin produk itu bukan sahaja berkesan tetapi selamat.
“Jadi sebagai syarikat farmaseutikal setakat ini kempen yang dijalankan oleh Pharmaniaga pastinya kita memberikan informasi yang telah disahkan, antaranya menerusi persidangan dan seminar perubatan yang melibatkan pegawai-pegawai perubatan dari farmasi, hospital kerajaan dan swasta serta klinik-klinik kesihatan,” kata beliau.
Dalam masa sama, sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Wanita, Pharmaniaga Berhad juga, katanya menggiatkan kempen di hospital-hospital dan klinik-klinik di seluruh negara untuk menggalakkan wanita lebih berani dan tidak malu tampil berjumpa doktor sekiranya wujud sebarang kemusykilan berkenaan kesihatan mereka.
Tegasnya, teknologi memang memudahkan khalayak khususnya wanita mendapat maklumat tentang keadaan kesihatan mereka, tetapi adalah lebih baik untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan yang bertauliah.
Ikuti rakaman temu bual penuh bersama Dr Ummul dan Sharon dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Jasmine Abu Bakar di sini: