Jangan muat naik, kongsi kandungan hina Institusi Diraja - SKMM
Afiezy Azaman
Ogos 12, 2023 13:09 MYT
Ogos 12, 2023 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian dan penghinaan yang membabitkan Institusi Diraja di media sosial dan aplikasi pemesejan.
Peringatan ini dikeluarkan susulan perkongsian oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan yang berbentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja.
"SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan Institusi Diraja.
"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, " kata SKMM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
SKMM berkata, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undangsedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
"Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menghina Institusi Diraja sebaliknya melaporkannya kepada SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM," ujar SKMM lagi.