Jangan 'menyesakkan nafas' anggota Umno untuk pilih pemimpin terbaik - Zambry

Bernama
September 12, 2013 18:32 MYT
Pemimpin dan anggota Umno yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti di peringkat bahagian, negeri dan pusat tidak wajar bersikap keterlaluan sehingga 'menyesakkan nafas' anggota parti untuk memilih pemimpin terbaik.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika memberikan peringatan itu berkata anggota Umno perlu melakukan lonjakan baharu untuk memilih pemimpin yang benar-benar luhur.
"Jika kita gagal memilih pemimpin yang luhur...boleh menyebabkan kelemahan dan akan membawa kepada kehancuran parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini Rabu.
Beliau berkata adalah malang jika anggota Umno berada dalam suasana 'berantakan' dan tidak belajar daripada apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei lepas.
"Semua pihak yang ingin bertanding perlu menganggap pemilihan dalam Umno adalah satu proses demokrasi yang perlu dilaksanakan oleh parti dalam suasana kekeluargaan. Siapa menang kita terima dan kalah pun sama. Ini perkara biasa dalam sistem kekeluargaan sesebuah parti," katanya.
Mengenai mesyuarat Wanita Umno cawangan Pekan Batu Gajah yang dicemari kekecohan, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata pihaknya akan mendapat penjelasan daripada bahagian itu.
"Perak mempunyai 1,720 cawangan semuanya, jadi biasanya yang satu, dua ini akan menjadi bahan berita. Bagi saya tidak ada kes terpencil, kita akan siasat dan meneliti insiden itu. Bagaimanapun mesyuarat di keseluruhan cawangan boleh dikatakan berlangsung dengan baik," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai mesyuarat itu yang bertukar kecoh apabila pertengkaran berlaku selepas seorang anggota cawangan meminta mesyuarat itu diadakan semula kerana tidak mengikut masa yang ditetapkan selain mendakwa dijalankan tanpa kehadiran anggota yang cukup.
Bagaimanapun Setiausaha Umno Bahagian Batu Gajah Zainal Osman berkata anggota itu menceroboh mesyuarat berkenaan dan dakwaan kehadiran anggota tidak mencukupi adalah tidak berasas, tambahan pula individu itu bukan anggota Pergerakan Wanita Umno.
#Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir #Menteri Besar Perak
;