'Jangan membangun sambil merobohkan' - Anwar
Madiha Abdullah
Februari 24, 2024 18:10 MYT
Februari 24, 2024 18:10 MYT
PUTRAJAYA: Al-Quran menekankan soal akhlak dan nilai manusia, yang secara jelas mempunyai hubung kait dengan pembangunan sesebuah tamadun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjelaskan lanjut, Anwar berkata, Malaysia tidak berpandukan teori ekonomi barat semata-mata, sebaliknya turut mengikut apa yang diterapkan al-Quran iaitu nilai, etika dan moral dalam pembangunan.
"Apa erti pembangunan, bangunan pencakar langit tetapi rakyat di bawah tertekan, tak dipedulikan?
"Apa erti gedung hebat tetapi pekerja di dalam ditekan dengan gaji rendah? Jangan sambil kita membangun, kita merobohkan.
"Yang kita bangunkan ialah gedung besar, industri hebat tapi dalam masa yang sama kita robohkan akhlak, nilai kemanusiaan... dan keadilan disisihkan.
"Gedung syarikat untung berbilion, pekerja gaji terlalu rendah, sukar makan dan jaga keluarga. Gedung hebat, pendapatan tinggi tapi akhlak pekerja kian merosot," katanya.
Tambahnya lagi, al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam, harus difahami secara menyeluruh dan tidak ditafsir mengikut kesesuaian atau keutamaan sendiri.
"Al-Quran itu tentang kefahaman, tak boleh ambil cebisan dan hukum saja. Ini disebut semalam di Seri Perdana, kita bicara tentang maqasid syariah.
"Matlamat syariah bukan soal hukum saja, ada matlamat keadilan dan keamanan,"ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival, pada Sabtu.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Mushaf Al-Ummah dan Buku Adab Madani, yang diharap dapat mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat seterusnya menggalakkan penulisan positif.