'Jangan melatah isu daging babi di perkarangan surau' - Khairuddin

Astro Awani
November 27, 2018 17:06 MYT
Tegas Khairuddin, provokasi mana-mana pihak yang mahukan kacau-bilau dilihat amat mustahil untuk mempengaruhi masyarakat di Serkam. - Gambar fail
Warga Serkam, Jasin diminta tidak mudah melatah atau mengambil pendekatan yang boleh mencipta kemelut perpaduan di antara kaum apabila daging babi dijumpai di dua buah surau di kawasan berkenaan.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, negara ini mempunyai penguatkuasa undang-undang yang amat cekap di dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara profesional.
"Biarlah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuat siasatan rapi dan kita semua jangan 'menangguk di air yang keruh. Agama Islam adalah agama yang paling murni serta amat toleran.
"Sabar itu adalah separuh dari iman. Orang Melayu dan umat Islam amat matang. Jangan kerana segelintir dari individu yang tidak bertanggungjawab, kita hendak bergaduh dan berbalah antara kaum.
BACA: Penemuan daging babi di surau: Polis akan ronda semua rumah ibadah di Melaka
"Masyarakat Serkam, Jasin amat matang dan sabar. Kita benci kepada kacau-bilau mahupun perbalahan selain tidak akan bersikap emosional," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, dua buah surau di Serkam dicemari dengan penemuan objek dipercayai daging babi beserta nota di pekarangan surau berkenaan awal pagi tadi.
Dalam kejadian lebih kurang 5 pagi, insiden pertama itu disedari jemaah Surau Bukit Serkam yang datang ke surau tersebut sebelum solat Subuh.
Dalam pada itu tegas Khairuddin, provokasi mana-mana pihak yang mahukan kacau-bilau dilihat amat mustahil untuk mempengaruhi masyarakat di Serkam.
"Saya amat mengenali hati budi masyarakat di sini dan merayu kepada PDRM untuk membuat siasatan rapi serta menjamin perkara yang tidak sihat seperti ini daripada berulang kembali," jelasnya.
Selain Surau Bukit Serkam, Surau An Nur turut dikejutkan dengan penemuan daging seumpana itu oleh seorang pekerja pembersihan wanita di situ.
Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kejadian itu dan telah mengambil tindakan pantas dengan mengarahkan anggotanya melakukan rondaan terutama di kawasan-kawasan rumah ibadat termasuk surau dan masjid untuk mencegah perkara itu berlaku dan kes disiasat dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
#agama #daging babi #Islam #Khairuddin Abu Hassan #Parlimen #PDRM #perkauman #polis #provokasi #Seksyen 295 Kanun Keseksaan
;