Jangan malu jika ada masalah kesihatan mental, dapatkan sokongan - Ras Adiba
Bernama
September 10, 2021 15:07 MYT
September 10, 2021 15:07 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak sepatutnya malu mendapatkan sokongan sekiranya mengesyaki diri mengalami masalah kesihatan mental, kata Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Beliau berkata orang ramai juga perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan di'cap' sebagai orang tidak siuman.
"Tidak semestinya kita tak nampak, ia tidak ada. Adakalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya.
"Oleh itu, adalah penting untuk kita semua bersama-sama, saling menjaga antara satu sama lain, memerhati dan menyedari akan petunjuk dan perkara kecil. Kita semua manusia, ada hari yang kita perlukan sokongan dan sedikit galakan," katanya ketika berucap dalam 'Hope Symposium 2021' anjuran Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) hari ini.
Bertemakan 'Thriving in Mental Health with Meaning and Compassion', simposium yang berlangsung secara maya sejak semalam itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai isu kesihatan mental bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.
Turut menyertai simposium itu Penaung MIASA dan selebriti Che Puan Sarimah Ibrahim, pengasas MIASA Anita Abu Bakar dan penyanyi yang juga pengasas kepada Qalby App Mizz Nina.
Tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia tahun ini adalah 'Bertindak Segera, Harapan Terbina' bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak. -- BERNAMA
* Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
* Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.