Jangan makan kerang-kerangan dari perairan Sungai Geting - Jabatan Perikanan

Bernama
Oktober 11, 2021 20:20 MYT
Orang ramai dinasihat supaya tidak memakan kerang-kerangan yang diperoleh dari perairan Sungai Geting, berikutan kawasan tersebut disyaki telah tercemar dengan serangan alga merah. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan kerang-kerangan yang diperoleh dari perairan Sungai Geting di sini, berikutan kawasan tersebut disyaki telah tercemar dengan serangan alga merah.
Pengarahnya Nazri Ishak berkata orang ramai juga dilarang melakukan aktiviti memungut dan menjual hasil kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah, lala serta lain-lain, yang diperoleh dari kawasan berkenaan.
Menurut beliau larangan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak.
"Adalah dimaklumkan bahawa keputusan analisis daripada pihak Makmal Biosekuriti Perikanan mendapati, kerang-kerangan di kawasan tersebut telah tercemar dengan toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu 'alexandrium minutum'.
"Kerang-kerangan yang telah tercemar oleh 'alexandrium minutum' sekiranya dimakan boleh menyebabkan keracunan berbahaya serta memudaratkan kesihatan manusia," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nazri berkata Sungai Geting sememangnya lokasi biasa berlakunya serangan alga merah ekoran banyak faktor antaranya akibat cuaca panas.
"Kerang-kerangan berfungsi sebagai penapis dan ia akan menapis bahan seperti alga dan jika ditapis sehingga tahap tinggi, apabila dimakan ia boleh menyebabkan keracunan.
"Kita akan buat pensampelan ini setiap minggu hingga keadaan selamat untuk dimakan. Sebagai langkah kawalan kita mengarahkan supaya tidak mengutip kerang-kerangan tersebut, sehingga kerja siasatan selesai dan dijamin selamat," katanya.
Sementara itu, Nazri berkata hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati tidak semua kerang-kerangan yang dijual di tepi jalan berhampiran Pantai Geting diperoleh atau dikutip dari kawasan yang tercemar itu.
"Jabatan Perikanan Kelantan sudah melakukan tinjauan dan penjual memaklumkan bekalan kerang-kerangan mereka bukan diperoleh dari perairan Sungai Geting.
"Oleh itu kita nasihatkan orang ramai yang mahu membeli kerang-kerangan ini untuk bertanya dan tahu dari mana ia diambil," katanya.
-- BERNAMA
#kerang-kerangan #Sungai Geting #alga merah #Jabatan Perikanan Negeri Kelantan #Nazri Ishak
;