Jangan main politik, rakyat lega dengan jaminan Hishammuddin - Penganalisis politik

Astro Awani
Julai 31, 2021 15:28 MYT
Jeniri berkata, jaminan Hishammuddin itu diharap dapat menstabilkan keadaan politik negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaminan 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein benar-benar melegakan rakyat.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, ia sekali gus diharap dapat menstabilkan keadaan politik negara dengan sokongan pelbagai pihak termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, ia juga membolehkan kerajaan memberi tumpuan terhadap segala inisiatif untuk menangani COVID-19 dan usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi lebih pantas lagi bagi mencapai imuniti kelompok.
"Jalan terbaik kepada semua pihak supaya tidak bermain politik dan parti pembangkang khususnya tidak memberi tekanan melalui langkah-langkah yang dianggap boleh kucar-kacir keadaan atau cuba menangguk di air keruh dengan memanipulasi situasi demi keuntungan politik mereka.
"Tumpuan semua pihak ialah mengelak daripada bermain politik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha bagaimana kita dapat keluar daripada membelenggu masalah yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan rakyat keseluruhannya.
"Para pemimpin politik termasuk wakil rakyat harus guna kearifan dan kebijaksanaan mereka menepis kepentingan politik kepartian, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat dan negara melangkaui kepentingan peribadi, puak atau ideologi politik masing-masing demi survival negara seluruhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: BN, UMNO tetap sokong kerajaan sedia ada - Hishammuddin
BACA: Perkiraan Ismail Sabri tepat, PN ada majoriti - Penganalisis Politik
Jelas Jeniri lagi, paling penting kini semua Ahli Parlimen tidak mengira parti menunjukkan bukti mereka akan melakukan yang lebih baik untuk memulihkan negara dengan pelan alternatif.
Namun ujarnya, situasi itu masih belum berlaku sekali gus menunjukkan kegagalan pembangkang.
#COVID-19 #UMNO #Parlimen #BN #survival #alternatif
;