Jangan main-main dengan rakyat - Ahmad Zahid
Fauzi Zin
Disember 8, 2018 17:23 MYT
Disember 8, 2018 17:23 MYT
Kerjasama UMNO-Pas bukan sahaja sebagai gagasan pembangkang tetapi akan diterjemahkan dalam isu-isu membabitkan orang Melayu dan Islam.
Berucap di pentas Himpunan 812 di Dataran Merdeka Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua parti politik itu juga akan bekerjasama membabitkan isu-isu lain.
"Saya bersetuju dengan Presiden Pas bahawa ini (kerjasama) bukan gabungan politik tetapi gabungan fikrah dalam kalangan kita, kerana rakyat mengharapkan kesatuan antara UMNO dan Pas.
"Saya mahu UMNO dan Pas bersatu mulai sekarang," ujarnya.
Terdahulu, Zahid mendakwa himpunan itu dihadiri hampir 500,000 peserta dan bukannya 50,000 orang seperti yang dilaporkan sesetangah pihak.
"Inilah manifestasi kalau Islam dan orang Melayu diusik, kita bangkit untuk perlihatkan kita bersatu.
"Kita lihat kesatuan ini simbolik bahawa kerajaan yang ada ini jangan main-main dengan rakyat.
"Apabila perasaan rakyat diusik, kita akan bersatu seperti yang kita ada pada hari ini," katanya.