Jangan lihat perbezaan pendapat dari sudut negatif - Sultan Nazrin

Bernama
Disember 18, 2014 22:17 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menyampaikan Anugerah Diraja kepada graduan cemerlang Nur Hidayah Yusoff pada Istiadat Konvokesyen ke-7 KUISAS. Foto BERNAMA
Perbezaan pandangan serta pendapat yang dilihat dari sudut negatif akan merosakkan hubungan harmoni selain menjejaskan paksi keseimbangan hubungan antara kaum dan agama, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah kelainan pandangan dan pendapat seharusnya membenarkan berlakunya percambahan pemikiran sehingga tercetusnya idea bernas dan penemuan baharu untuk manfaat bersama-sama.
"Amatlah malang kepada tamadun sesuatu bangsa, amatlah malang kepada peradaban manusia sejagat jika kelainan dan perbezaan dilihat dari lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka," titah baginda pada istiadat konvokesyen ketujuh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) di sini, hari ini.
Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Kuisas bertitah kelainan pendapat dan pandangan perlu diurus secara positif serta konstruktif melalui forum perundingan untuk mencari titik pertemuan di samping menghormati sempadan perbezaan.
Perkara itu dapat dilihat dalam Islam apabila ia mengharuskan dan membolehkan berlakunya kelainan pendapat dan pandangan hingga terbentuknya empat mazhab utama, titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah rakyat perlu dididik mengamalkan prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju' agar tidak wujud pemikiran autoritarian dan totalitarian, yang merasakan dirinya betul semua, dan pihak lain salah semua.
"Insaflah, umat manusia tidak sempurna sifatnya, insaflah, umat manusia memiliki pelbagai kekurangan, insaflah, kesempurnaan itu hanya milik Allah swt," titah baginda.
Baginda turut memasihati ulama dan pemimpin masa kini supaya mencontohi sifat murni ulama pada era silam yang berhujah atas asas ilmu, menerima perbezaan tafsiran dan kelainan pandangan namun mengekalkan hubungan silaturrahim, bersifat merendah diri di samping memuliakan taraf ketinggian ilmu ulama-ulama lain.
"Sifat ulama pada zaman silam yang kaya menguasai khazanah ilmu, bersifat zuhud lagi merendah diri, berfikiran terbuka menerima perbezaan, sabar lagi teliti sebelum menjatuhkan hukum adalah sifat-sifat yang berperanan besar melukiskan keindahan Islam sebagai agama yang memiliki wajah yang mulia, sederhana, adil lagi saksama," titah baginda.
Baginda bertitah keindahan bermasyarakat akan tercapai apabila ulama tersohor dan umat Islam berjaya meraikan perbezaan dan memahami kepelbagaian tuntutan dengan semangat berunding dalam suasana yang harmoni.
Mengenai Kuisas, baginda bertitah Kuisas mempunyai cabaran yang lebih besar untuk mengasuh dan membimbing warga Kuisas agar memiliki minda terbuka kepada realiti dunia yang dihuni oleh pelbagai umat manusia.
Sultan Nazrin Shah bertitah Kuisas wajib melahirkan graduan yang bersifat terbuka, bersedia menerima kepelbagaian perbezaan, memiliki kemahiran untuk mengurus perbezaan dan yang berjaya melakukan penyatuan dalam kepelbagaian.
Pada istiadat itu, baginda berkenan menganugerahkan Anugerah Diraja kepada graduan Diploma Kaunseling Islami, Nur Hidayah Yusoff, 21, yang menerima sijil, medal dan cek bernilai RM7,000.
Selain itu, baginda juga menyampaikan Anugerah Menteri Besar kepada graduan Diploma Syariah Islamiyyah Rodhiyah Shahimi, 22, dan Anugerah Rektor Kuisas kepada Nurul Husna Aina Junus, 22, graduan Diploma Pengajian Islam.
Seramai 235 graduan menerima diploma masing-masing pada majlis itu.
#Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah #Sultan Nazrin Shah #titah ucapan
;