Jangan leka SOP MKN, PDRM akan terus lakukan pemantauan
Nickyson Nyambar
Julai 29, 2021 21:05 MYT
Julai 29, 2021 21:05 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan untuk terus patuh kepada setiap arahan keselamatan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya hari ini menegaskan, ini termasuk arahan pergerakan rentas daerah atau negeri dan larangan penganjuran aktiviti sosial dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
"PDRM ingin mengingatkan masyarakat bahawa SOP mengenai pergerakan dan larangan penganjuran apa-apa aktiviti sosial masih berkuat-kuasa di negeri-negeri di bawah PPN Fasa 1 dan 2 yang mana antaranya adalah tiada rentas sempadan negeri dan daerah, kecuali bagi tujuan-tujuan dibenarkan.
"(Antara lain) dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediamannya," katanya.
Dalam pada itu, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau yang hampir dengannya sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tiada dalam lingkungan radius.
"Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.
"(Manakala) Apa-apa aktiviti sosial yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah tidak dibenarkan," tambahnya.
Oleh yang demikian, kata beliau, pihak PDRM akan terus komited dan akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP demi keselamatan kesihatan masyarakat ketika waktu sukar ini
"Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan, akan diambil tindakan sewajarnya dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," tegasnya dalam kenyataan sama.
#SOP
#pandemik
#COVID-19
#PDRM
#Ketua Polis Negara
#Pelan Pemulihan Negara
#Acryl Sani Abdullah Sani
#MKN